Sila Klik

Saturday, 16 May 2009

SELAMAT HARI GURU

GURU OH GURU
USMAN AWANG


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Tuesday, 31 March 2009

Salam.

Lama juga rasanya tidak mencoret dalam blog ini. Samada terlalu sibuk atau ketandusan idea. Mungkin kedua-duanya sekali. Kerana terlalu sibuk dengan rutin harian, idea pun menjadi tandus. Minggu ini dan minggu-minggu yang akan mendatang menjanjikan kesibukan yang terlalu sibuk. Bermula dengan Mesyuarat J/K Kurikulum, kemudian Percambahan Idea tentang Pameran Hari Guru dan Sukaneka Bank Rakyat. Diikuti pula dengan taklimat e-Tukar, Perayaan Bulan Dakwah dan Mesyuarat J/K Kewangan dan Akaun, pada masa yang sama Mesyuarat Agung Tahunan Bank Kerjasama Rakyat (mewakil Koperasi Abang Aing Berhad) di PWTC. - sesekali best jugak dapat flight free.

Minggu depan bertambah sibuk. Pertandingan Bolasepak 12 TKB, Pertandingan Kawat Kaki, Koir dan beberapa siri mesyuarat. Terjejas juga aktiviti-akitivi akademik yang telah dirancang. Kadang-kadang terfikir jugak, perlukah aktiviti-aktiviti yang "ko" begitu banyak? Bukan apa, bimbang takut sasaran tak tercapai. Yang dikendong keciciran, yang dikejar tak dapat. Bila fikir lagi, elok juga bagi menyediakan perkembangan yang holistik bagi pelajar-pelajar.

Walau bagaimanapun tahniah kepada Cikgu Dayang Aishah, Cikgu Mohd Jurji Abdullah, Cikgu Irene Sintan, Ustaz Mokhtar (telah bertukar ke Semananjung) dan Abang Mohd Preudrus kerana telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008.

Wsalam.

Friday, 27 March 2009

Salam.
Pagi tadi berlangsung satu detik yang bersejarah dalam bidang pendidikan di Sri Aman - Majlis Menandatangani Kontrak Pendidikan. Kontrak ditandatangani oleh YDP Majlis Guru Besar (MGB) bagi pihak sekolah rendah dan Pengerusi Pemufakatan Antara Sekolah (MAS) bagi sekolah menengah dengan Pegawai Pelajaran Daerah, disaksikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman dan wakil-wakil YB setempat. Satu majlis yang signifikan bagi lonjakan saujana ke arah meningkatkan prestasi akademik terutama dalam UPSR dan PMR di Sri Aman.

Syabas dan tahniah kepada pihak yang mencetus idea tentang perkara ini. Harapan kita agar kontrak yang sedia ada direalisasi dengan langkah-langkah susulan. Tidak wajar, kontrak yang sudah ditandatangani dan dihiasi dengan tinta dan bingkai emas dibiarkan terpampang begitu saja.

Di SK Abang Aing, kontrak sebegini rupa telah kita mulakan pada 12 Mac dulu - Majlis Menandatangani Surat Akujanji Pelajar Tahun 6. Ditandatangani oleh pelajar, ibubapa dan guru bersaksikan pihak pentadbir sekolah dan PIBG. Susulan dari majlis itu nanti, dalam sedikit masa akujanji akan ditandatangi antara guru dan pentadbir sekolah. Matlamat dan falsafahnya sama, satu ikatan perjanjian antara dua pihak dalam usaha mempertabatkan mutu pendidikan.

Terima kasih.

Sunday, 22 March 2009

KEMBALI KE SEKOLAH

Salam
Harap-haraplah semua sudah bersedia untuk ke sekolah semula keesokkan harinya. Para pelajar akan tersenyum girang dan para guru tak sabar-sabar menghadapi kerenah mereka.

Harap-haraplah juga, sesi persekolahan kali ini dimulakan dengan azam dan tekad yang lebih kuat setelah sekian lamanya tidak menjenguk sekolah. Apalah agaknya, perubahan yang telah berlaku dan akan berlaku.

Pelajar akan berharap sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih seronok dan tidak membebankan. Guru pula mengharap agar berkurangan kenakalan dan kedegilan pelajar. Maka tiada lagi bebelan yang memekak telinga.

Tuesday, 17 March 2009

Saya terpanggil memulakan blog ini, setelah melihat seribu harapan pada airmuka pelajar-pelajar Tahun 6, semasa Sesi Ceramah Motivasi pada hari ini. Sebenarnya mereka semua ada cita-cita, matlamat dan impian. Yang kurang pada mereka ialah dorongan, bimbingan dan panduan bagaimana untuk mencapai impian tersebut. Maka mahu tidak mahu, kita sebagai orang dewasa, guru dan ibubapa perlu menyemarakkan impian mereka dengan motivasi. Saya masih teringat, kata-kata mantan Pegawai Pelajaran bahagian Sri Aman, Dr. Zulwali Kifli Merawi "motivasi bak makanan, perlu disemarakkan setiap hari kepada pelajar-pelajar, walaupun hanya untuk beberapa minit".

Hampir seminggu berlalu, selepas Majlis Menandatangani Surat Akujanji Pelajar Tahun 6, SK Abang Aing. Hari itu jugalah ramai pelajar Tingkatan 5 yang melonjak kegirangan dan tak kurang pula yang menundukan muka kemurungan setelah keputusan SPM diumumkan. Pada hari tersebut juga, seluruh rakyat Malaysia terharu dengan kejayaan seorang pelajar miskin Nik Nur Madihah yang mendapat keputusan 20 A. Diharap kejayaan adik Nik Nur Madihah boleh memotivasikan pelajar-pelajar yang telah mempunyai impian dan harapan dalam UPSR 2009. Insyallah.