Sila Klik

Friday, 14 June 2013

Kejuaraan Milik Pendekar Kita

Salam.
Tahniah kepada pendekar-pendekar SK Abang Aing. Sekali lagi mereka melakar sejarah. Mereka telah merangkul juara dalam Pertandingan Paluan Kompang  dan Formasi, peringkat daerah Sri Aman.  Kejuaraan, yang sekaligus mengesahkan penyertaan mereka dalam Pertandingan Paluan Kompang dan Formasi, peringkat negeri Sarawak.

Lagak pendekar yang akan turun bertempur

Dengan bimbingan dan tunjuk-ajar daripada 4 orang guru: Encik Kamsul Mohd Pon, Puan Dayang Hamidah, Puan Fatimah Achau dan Ustazah Nurul Aini akhir 18 orang pendekar sekolah telah membuktikan mereka terbaik dalam daerah Sri Aman. Pergorbanan berlatih sewaktu orang lain seronok bercuti telah membuahkan kejayaan. Mereka adalah wira-wira yang telah mengharum dan mengukir nama sekolah di persada Sri Aman dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi. Insyallah.

Kumpulan Paluan Kompang Dan Formasi 
Perjuangan seterusnya adalah, pada 1 Julai 2013. 18 orang pendekar ini akan mempersembahan paluan dan langkah-langkah kreatif semasa Pertandingan Paluan Kompang dan Formasi peringkat negeri Sarawak. Mereka akan berentap dengan lebih 10 kumpulan dari seluruh negeri Sarawak. Semoga mereka akan terus melakar sejarah kejuaraan bagi SK Abang Aing. Harapan kita agar mereka dapat mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan, mengiringi kejayaan Kumpulan Action Song.

Semangat yang berkobar-kobar, sebelum berjuang.


Thursday, 6 June 2013

Asam-garam Cuti Sekolah



Salam.
Beberapa hari lagi, sekolah akan dibuka semula. Cuti pertengahan tahun hampir berlalu, sejauh manakah hari-hari tersebut dimanfaatkan? Terisikah masa luang pelajar dengan dengan aktiviti yang berfaedah? Ia bergantung kepada kita - guru-guru dan ibubapa. Kitalah yang sepatutnya merancang aktiviti pelajar dan anak-anak kita semasa cuti. Walaupun cuti, biarlah masa cuti adalah masa yang mempunyai nilai.
Perancangan waktu cuti


Tanpa perancangan dari guru-guru dan ibubapa, hari-hari cuti akan pergi umpama angin senja. Kalau beginilah, lebih baik tak perlu cuti. Masa luang pelajar akan terisi dengan penuh bermakna, sekurang-kurang mereka kurang terdedah dengan unsur yang negatif. Bila terjadi begitu, kucar-kacir satu dunia. Alam sekitar pun turut terancam. Alangkah moleknya, sekiranya sewaktu cuti begini, hanya sekolah yang bercuti dan pelajar diaktifkan dengan kegiatan kokurikulum. Jadi kuranglah, aktiviti kokurikulum diadakan waktu persekolahan.


Harap-harap waktu cuti tidak menjadi penyebab kepada kemudaratan pihak lain

Lazimnya, ibubapa yang ada kesedaran akan merancang agar masa cuti sekolah anak-anak dioptimum sebaik mungkin. Mereka merancang perkelahan keluarga ataupun menziarahi ahli keluarga yang tinggal berjauhan untuk mengeratkan silatulrahim di kalangan anggota keluarga. Tidak kurang pula yang menghantar anak-anak untuk menghadiri kem kem motivasi dan bina semangat, khususnya pelajar-pelajar yang akan menghadapi peperiksaan awam tahun ini.

Isnin depan, sesi penggal kedua persekolahan akan dimulakan. Entah berapa ramai yang tidak nampak 'batang hidung' pada hari pertama. Banyak alasan yang akan diterima. Entahlah, yang pastinya cuti yang berjumlah 16 hari memang lebih dari mencukupi.
Kecederaan sewaktu cuti

Saturday, 1 June 2013

Program Mutiara Benak - Ke Arah Kecemerlangan Calon UPSR 2013

Fenomena benak yang menggerunkan.
Salam.
"Benak", mengikut Wikipedia, ia bermaksud fenomena air pasang yang membawa arus masuk berbentuk gelombang (ombak) - air yang bergerak ke sungai atau teluk sempit serta melawan arus.Gelombang air pasang ini, tidak boleh disamakan dengan tsunami, walaupun keduanya mempunyai persamaan sifat. 

Encik Bihud Apok, pergerak utama Program Mutiara Benak
Mengambil sifat tidal bore atau benak yang agresif serta memberi impak yang tinggi kepada persekitaran yang sedia ada, Pejabat Pelajaran Daerah Sri Aman dengan kerjasama Majlis Guru Besar Daerah telah menjenamakan Program Kecemerlangan Calon UPSR 2013, sebagai Program Mutiara Benak. Menurut Pegawai Pendidikan Daerah, Encik Bihud Apok fenomena benak yang menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negeri selalu dikaitkan dengan impak negatif, seperti kemalangan jiwa dan kemusnahan harta benda perlu dilihat dari sudut yang positif. Samalah halnya, dengan impaknya kepada industri pelancongan tempatan. 
Pendidik di daerah Sri Aman perlu meneroka dan mencungkil potensi yang ada pada pelajar dan seterusnya menyerlahkan mereka di arus perdana sistem pendidikan negara.

Pelajar-pelajar SK Abang Aing - gambar hiasan
Program Mutiara Benak, akan berlangsung di SK St Lawrance, Sri Aman dari 5 - 8 Jun 2013. Program tersebut melibatkan seramai 120 orang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari sekolah-sekolah daerah Sri Aman. Peserta-peserta yang terplih adalah kalangan mereka yang berpotensi untuk mendapat keputusan cemerlang, sekurang-kurangnya 4A1B. SK Abang Aing merupakan sekolah yang menghantar peserta terbanyak iaitu seramai 30 orang.

Dengan berslogankan, Sri Aman Cemerlang adalah diharapkan daerah Sri Aman dapat berdiri sama tinggi dengan daerah-daerah lain di negeri Sarawak dalam arus perdana pendidikan negara. Insyallah.

Friday, 31 May 2013

Agihan Komputer 1Malaysia

Salam.
Program pengagihan Komputer 1Malaysia, cetusan ilham Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, merupakan kaedah terbaik bagi menangani masalah jurang digital dan celik IT di kawasan luar bandar. Itu antara intisari ucapan Guru Besar, semasa majlis pengagihan komputer 1 Malaysia kepada murid-murid yang terpilih. 

Ucapan Guru Besar semasa Majlis Pengagihan  Komputer 1Malaysia.
Seramai 26 orang murid telah terpilih untuk menerima Komputer 1Malaysia yang berbentuk netbook. Selain ibubapa berpendapatan kurang daripada RM3000, penerima hendaklah mereka yang telah menunjukkan prestasi akademik yang cemerlang, itu antara kriteria pemilihan yang digunakan. Mereka menerima agihan tersebut dari Guru Besar, bertempat di Dewan Bougenvilla.

Antara penerima Komputer 1Malaysia.
Lagi penerima Komputer 1Malaysia
Guru Besar berharap murid-murid yang telah menerima agihan Komputer 1Malaysia, menghargai pemberiaan tersebut dengan mengoptimumkan penggunaannya untuk kemajuan akademik masing-masing. Jadikan pemberiaan tersebut sebagai pencetus semangat untuk lebih berusaha. Yang lebih penting, hindarkan pengaruh-pengaruh negatif kesan dari melayari alam maya, menurut beliau lagi.

Antara 'netbook" yang diagihkan kepada murid-murid.

Friday, 24 May 2013

Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa Guru (2013-2015)

Salam.
Mesyuarat Agung Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), SK Abang Aing telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan yang memuaskan daripada kalangan ibubapa. Majlis tersebut telah diadakan di Dewan Suarah, Sri Aman pada 23 Mei 2013, bermula pada pukul 3.00 petang. Ibubapa dan guru yang hadir telah memenuhi ruang legar Dewan Suarah untuk proses pendaftaran kehadiran seawal pukul 2.00 petang.

Ahli mesyuarat mendaftar kehadiran.
Majlis dimulakan bacaan doa yang dipimpin oleh Ustaz Zulkarnai bin Zahari dan diikuti oleh ucapan Yang Dipertua PIBG, Encik Zaidi bin Sharkawi dengan membaca beberapa usul yang dikemukakan oleh para ahli. Sebanyak 18 usul telah dibentang dan diberi response oleh pihak PIBG dan sekolah.

Bacaan Doa dipimpin oleh Ustaz Zulkarnai bin Zahari
Yang Dipertua PIBG, mengulas usul-usul dari ahli PIBG
Beberapa usul telah mendapat reaksi dari ahli majlis mesyuarat. Antara usul-usul yang hangat diperbincangkan adalah:
  1. Pembinaan Lorong Pejalan Kaki dari pagar utama ke bangunan akademik.
  2. Ketidakhadiran murid-murid semasa aktiviti-aktiviti yang dijalankan terutamanya yang berunsur akademik.
  3. Kesesakan lalulintas di hadapan pagar utama semasa waktu balik.
  4. Keterlibatan ibubapa dalam program sekolah.
Salah seorang ahli memberi reaksi kepada salah satu usul yang dibentangkan.


Penasihat PIBG merangkap Guru Besar, mengulung keseluruhan usul yang dibentangkan.

Agenda seterusnya adalah pembentangan aktiviti persatuan oleh Setiausaha, Puan Sharifah Jamai'ah bt Wan Zain dan laporan kewangan dari Bendahari, Encik Nixon Idal. Sebelum itu, ceramah tentang Sarana Ibubapa telah disampaikan Penolong Kanan HEM, Tuan Haji Sazali bin Mohamad.

Pembentangan Laporan Persatuan oleh Setiausaha.
PK HEM menyampaikan ceramah Sarana Ibubapa.
Bendahari PIBG melapor kedudukan kewangan.
Agenda kemuncak pada Mesyuarat Agong PIBG, SK Abang Aing pada kali ini adalah pemilihan bagi ahli-ahli yang akan menerajui persatuan untuk sesi 2013-2015. Pemilihan telah dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan yang dilantik oleh sekolah.


Dalam pemilihan tersebut Yang Dipertua, Encik Zaidi bin Sharkawi telah dilantik semula memimpin PIBG bagi tempoh 2013-2015. Beberapa orang ahli EXCO telah dikekalkan. Syabas dan tahniah.

Wednesday, 22 May 2013

Karnival Hari Guru 2013 - # Wordless Wednesday (WW)

Salam.
Wordless Wednesday. Setiap hari Rabu, ramai blogger menerbitkan satu entri bergambar tanpa meletakkan apa-apa keterangan untuk menjelaskan gambar tersebut kecuali caption. Terpulang kepada pengunjung untuk membuat tafsiran dan komen mengenainya. Gambar yang hebat boleh menerangkan segala-galanya.

Pasukan Bola Jaring
Kejar itik atau tangkap rama-rama.
Saja-saja nak bergambar. Tak main pun
Betulkah menang? Belum main pun.

- foto ikhsan Abang Rosni 

Monday, 20 May 2013

Sambutan Hari Guru 2013.

Salam.
Seawal jam 7.30 pagi, Dewan Suarah Sri Aman bergema dengan paluan kompang mengiringi warga guru sempena dengan Sambutan Hari Guru 2013. Dengan tema perayaan pada tahun ini, Guru Malaysia : 1 Aspirasi 1 Agenda, perayaan pada tahun ini dianggap istimewa kerana permulaan bagi transformasi pendidikan  melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Warga guru memasuki dewan dengan paluan kompang
Dalam ucapan perasmian, Guru Besar, Wan Ismail bin Wan Chula menegaskan lima (5) keberhasilan utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan hanya dapat dicapai melalui satu aspirasi dan satu agenda yang digerakkan dan disepadukan secara bersama.

Ucapan Perasmian oleh Guru Besar
Antara yang hadir menyaksikan Sambutan Hari Guru 2013, Encik Zaidi bin Sarkawi Yang Dipertua bersama EXCO Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), guru dan kakitangan, ibubapa dan murid-murid. Acara perasmian dilakukan dengan memotong riben dan kek Hari Guru.
Memotong riben menandakan pelancaran Hari Guru Peringkat Sekolah.
Memotong kek Hari Guru
Kek Hari Guru sumbangan Bank Kerjasama Rakyat Cawangan Sri Aman.
Sambutan diteruskan dengan lafaz ikrar guru yang diketuai oleh Tuan Haji Sazali bin Mohammad, Penolong Kanan HEM, sebagai tanda memperbaharui ikrar yang dilafazkan pada tahun 2012. Kemeriahan majlis bertukar menjadi syahdu, apabila semua guru menyanyikan 3 buah lagu :
  • Guru Malaysia
  • Pendidik Bumi Kenyalang
  • Biarku Menjadi Lilin

Koir Hari Guru
Koir Kanak-kanak Prasekolah dengan lagu "terima Kasih Cikgu"
Persembahan kumpulan Action Song yang berjaya ke peringkat kebangsaan.
Majlis diakhiri dengan warga guru berbaris menerima cenderamata dari murid-murid  dan ibubapa. Terdahulu diadakan acara bertukar-tukar hadiah sesama guru dan kakitangan sekolah. Kemuncak bagi sambutan Hari Guru 2013 adalah, penyamapaian Anugerah Guru Malaysia 2013. 

Acara bertukar hadiah.
Cenderamata untuk semua guru sebagai tanda penghargaan
Salah seorang penerima Anugerah Guru Malaysia 2013
- kredit kepada Abang Rosni dan Abang Mohd Prederus kerena sumbangan foto

Friday, 3 May 2013

Warkah Dari Dato Seri Najib Tun Abdul Razak

Dato Seri Najib Tun Abdul Razak

Wan Ismail Bin Wan Chula yang dikasihi,

Hari ini negara tercinta Malaysia berada di persimpangan antara masa hadapan yang penuh peluang dan harapan serta masa hadapan yang sarat dengan ketidaktentuan dan pertelingkahan. Di tangan Tuan-Tuan dan Puan-Puan ,  serta 13 juta warga  Malaysia yang lain  terletak kuasa untuk membuat keputusan mengenai  siapakah yang terbaik untuk diberikan amanah serta tanggungjawab bagi meneraju negara bertuah ini untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

Empat tahun yang lalu merupakan tempoh yang mencabar untuk kita semua. Di dalam persekitaran ekonomi global yang amat mencabar kerajaan dan rakyat Malaysia telah berjaya hasil kerjasama semua  meletakkan ekonomi Malaysia di landasan yang betul untuk pertumbuhan berterusan, meningkatkan hasil negara yang digunakan untuk meringankan beban kehidupan rakyat,   merangsang penciptaan peluang pekerjaan yang mencukupi dan meningkatkan kemakmuran untuk semua.   

Ia bukanlah perjalanan yang mudah bagi kami  parti yang diberikan amanah sebagai kerajaan oleh tuan-tuan dan puan-puan. Dalam sesetengah perkara kami perlu mengambil keputusan yang perit tetapi perlu. Dalam keadaan ini  kami tidak bertindak sebagai ahli politik populis tetapi sebaliknya bertindak  setelah mengkaji secara teliti kesan jangka panjang keputusan yang bakal diambil bukan sahaja terhadap generasi hari ini tetapi juga generasi masa depan negara ini, kami tidak rela mewariskan sebuah negara yang gagal kepada anak-anak kita.

Setelah melalui proses mendengar, merundingi serta memperoleh input dari semua pihak kami telah merangka pelan yang kami yakin terbaik untuk  semua rakyat Malaysia untuk tempoh lima tahun akan datang malahan sehinggga tahun 2020. Sesungguhnya Tuan-tuan dan Puan-puan mampu merasai sendiri keberkesanan segala usaha yang telah saya dan rakan-rakan lakukan setakat ini. Berikanlah kami Kerajaan Barisan Nasional  peluang untuk terus berkhidmat demi kepentingan tuan-tuan dan puan-puan  bagi meningkatkan lagi mutu kehidupan kita dan anak-anak kita serta demi masa depan yang lebih sejahtera serta makmur.    Berilah kepercayaan kepada Kerajaan BN bagi meneruskan  usaha bakti buat Malaysia dan seluruh rakyatnya.

PRU kali ini  perlulah ditentukan bersandarkan  menepati janji, mendukung harapan dan  kebolehpercayaan. Tidak sepatutnya wujud ruang untuk mereka yang menabur janji tidak kredibel dan akhirnya tidak mampu ditunaikan, gemar menyebar fitnah, memanipulasi fakta serta meraih sokongan berasaskan kebencian serta perpecahan. 

Demi anak-anak Malaysia fikirkan semasak-masaknya, sebelum membuat keputusan kerana pilihan tuan-tuan dan puan-puan akan mempunyai kesan yang amat besar untuk masa hadapan kita. 

Undi tuan-tuan dan puan-puan  sewajarnya menjadi– UNDI untuk Malaysia  yang maju dan progresif, UNDI untuk Malaysia  yang menuju   transformasi politik, ekonomi dan sosial yang menyeluruh , Malaysia di mana kita semua, dapat hidup dengan bangga dan bermaruah di bawah payung  falsafah 1Malaysia.


Yang ikhlas,



Najib Razak
Pengerusi Barsian Nasional