Sila Klik

Wednesday, 23 October 2013

Guru-guru dan Pentadbir Sekolah di Bumi Kenyalang !!! - Ayuh kita melaksanakan Ujian Kompetensi ICT

Salam.

Pastikan bukan kita
Pelaksanaan ujian kompetensi ICT kepada semua pegawai perkhidmatan pendidikan (guru dan pentadbir sekolah) bagi negeri Sarawak dilaksanakan hari ini 23 Oktober 2013 (Rabu), bermula jam 8.00 pagi dan berakhir 12.00 tengah malam pada 31 Oktober 2013 (Khamis). Ujian tersebut boleh diakses 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. 

Matlamat ujian tersebut bertujuan mengumpul data yang membantu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia merancang dan melaksana program latihan yang tepat berdasarkan tahap digital literasi guru dan pentadbir sekolah. Ini merupakan salah satu inisiatif di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Untuk Memulakan Ujian, Sila Klik Di sini



Guru dan pentadbir sekolah (Pengetua dan Guru Besar) haruslah menjawab ujian ini dengan penuh nilai integriti dan profesional untuk memastikan data hasil dari ujian ini adalah tepat untuk membantu pihak KPM merancang dan melaksana program latihan pembangunan profesionalisme secara berterusan.

Terdapat 30 soalan berbentuk objektif yang perlu dijawab kesemuanya dalam tempoh 40 minit menggunakan pelbagai peranti (device) telekomunikasi. Contohnya: computer, iPad, tablet, smartphone dll.

Sila Klik Di sini Untuk Memulakan Ujian.


Guru atau pentadbir sekolah diminta memasukkan kad pengenalan untuk masuk ke ruang dashboard ujian dan ikutilah arahan seterusnya. Untuk perhatian setiap soalan mesti dijawab sebelum boleh bergerak ke soalan berikutnya. Ujian harus dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan boleh dilakukan di luar sesi persekolahan.

Selamat memerah otak.


Monday, 9 September 2013

KAMI JUARA LAGI!

Salam.
Tahniah kepada kontingen SK Abang Aing yang telah menjuarai Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Sekolah Daerah Sri Aman 2013. Pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh Majlis Daerah Sri Aman dengan kerjasama pihak SHELL Malaysia.  Sebelum pertandingan tersebut diadakan pihak penganjur telah memberi peluang dan kemudahan kepada sekolah-sekolah yang mengambil bahagian untuk menjalani latihan di Taman Lalu Lintas. Latihan yang dlakukan di bawah seliaan pegawai-pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak PDRM.
.
Kontingen SK Abang Aing.
Acara tahunan tersebut dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada generasi muda terutama para pelajar agar mematuhi undang-undang dan keselamatan jalan raya bagi mengelak kemalangan. Lebih seratus orang pelajar dari 7 buah sekolah dalam daerah Sri Aman telah mengambil bahagian. Pertandingan tersebut dibahagi kepada 2 kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah.

Kejayaan milik mereka.
Dalam Kategori Sekolah Rendah, SK Abang Aing telah dinobatkan sebagai juara, manakala naib juara disandang oleh SJK Chung Hua Simanggang dan SK Melugu tempat ketiga. Majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia Luar Bandar, YB Datuk Francis Harden ak Hollis. Turut hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada Walikota Majlis Daerah Sri Aman, wakil dari SHELL Malaysia, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Masyarakat termasuk guru dan pelajar dari sekolah yang mengambil bahagian.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datuk Francis Harden ak Hollis
Sebagai juara peringkat daerah Sri Aman, kontingen dari SK Abang Aing mewakili daerah ke pertandingan peringkat negeri Sarawak yang akan berlangsung di Kuching sekitar Oktober nanti. Sama-samalah kita berdoa agar SK Abang Aing akan terus menempa kejayaan untuk mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.

Bersama hadiah dan sijil masing-masing.

Thursday, 5 September 2013

Selamat Menduduki UPSR 2013.

Salam.
Selamat Menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada  murid-murid Tahun 6, SK Abang Aing. Pada tahun SK Abang Aing mengenengahkan seramai 125 orang calon UPSR. Peperiksaan yang akan dilangsungkan serentak seluruh negara untuk semua murid Tahun 6 akan diadakan dari 10 hingga 12 September akan datang.

Calon-calon UPSR 2013 bersama guru-guru.

Sasaran Pencapaian yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah pada tahun ini ialah 83.2% lulus semua mata pelajaran dengan sekurang-kurangnya mendapat Gred C. Di samping itu juga, Gred Purata Sekolah (GPS) yang telah disasarkan ialah 1.99 mata dan lulus cemerlang 5A seramai 15 orang. 

Selamat berjaya. 

Wednesday, 4 September 2013

MERDEKA RAYA, SK ABANG AING MERIAH!

Salam.
Sempena dengan majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan 2013, seluruh warga SK Abang Aing telah menyemarakkan majlis tersebut dengan sambutan Hari Kemerdekaan semasa Majlis Ramah-tamah Idul Fitri. Perhimpunan di Dataran Kemerdekaan diadakan seawal jam 7.30 pagi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang. 

Kibaran Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik.

Majlis diteruskan dengan kupasan sejarah kemerdekaan negara yang disampaikan oleh Encik Kamsul Mohd Pon, Penolong Kanan Kokurikulum selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan. Bertepatan dengan tema Hari Kemerdekaan Ke 56 pada tahun ini Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, beliau telah menyeru seluruh warga SK Abang Aing agar menjadikan 'kemerdekaan' yang disambut setiap tahun sebagai hadiah yang tidak ternilai daripada generasi terdahulu.

Model-model generasi Merdeka.

Aktiviti di Dataran Kemerdekaan diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang keunikan pakaian patriotik. Majlis disempurnakan oleh Guru Besar, Encik Wan Ismail bin Wan Chula. Sekali lagi, lagu patriotik berkumandang membakar semangat perhimpunan pada pagi tersebut.

Pemenang pertandingan Pakaian Patriotik.

Tepat jam 8.30, suasana sambutan bertukar dengan majlis menjamu selera juadah Idul Fitri. Murid-murid dari setiap buah kelas mengadakan 'Rumah Terbuka' untuk guru-guru. Sebagai tetamu, guru-guru dan kakitangan sekolah telah dijamu dengan pelbagai juadah.

Pegawai Daerah Sri Aman, antara tetamu yang hadir.
Selesai 'Rumah Terbuka' yang dianjurkan oleh murid-murid, aktiviti seterusnya beralih ke Dewan Sekolah. Guru dan kakitangan bersedia menrima kunjungan ibubapa dan tetamu jemputan. Antara yang hadir pada majlis tersebut termasuk Yang Dipertua PIBG, Pegawai Daerah Sri Aman, Pengurus Cawangan Bank Rakyat, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Masyarakat dan ibubapa.
Tetamu jemputan menjamu selera.

Majlis bergambar beramai-ramai.
Majlis diakhiri dengan guru dan para jemputan bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan.

Tuesday, 3 September 2013

Prosedur Am Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP)

Salam.
Seperti yang dijanjikan di dalam entri terdahulu  (klik di sini), dipaparkan Prosedur Am Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kawalan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Menerusi informasi terkini di laman portal Kementerian Pendidikan Malaysia, permohonan secara online (atas talian) untuk kemasukan murid ke tingkatan satu dan tingkatan empat di Sekolah Berasrama Penuh, KPM bagi Sesi 2014 telah dibuka pada 1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. Sila layari laman web KPM di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

Permohonan Online Ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 1 Dan Tingkatan 4 Sesi 2014

Cara Memohon SBP & Sekolah Kawalan
  • Pelajar Tahun 6 yang akan menduduki UPSR 2013 pada 10 hingga 12 September akan datang boleh memohon Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki PMR 2013 hanya boleh memohon Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sahaja.
  • Permohonan perlu dibuat secara online melalui Aplikasi Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan.
  • Pastikan maklumat yang dimasukkan adalah betul dan tepat kerana maklumat yang tidak tepat boleh menjejaskan peluang memasuki kedua-dua institusi tersebut.
  • Untuk mengakses dan membuat permohonan sila klik pautan di bawah:
  • Sebagai panduan untuk mengisi aplikasi tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan manual dalam talian. Sila klik pautan di bawah: 

Tarikh Tutup
  • Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan bagi sesi 2014 akan ditutup pada 15 Oktober 2013.
Maklumat
  • Sebarang pertanyaan boleh juga diajukan kepada :

  • Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Aras 3, Blok 2251, Jalan Usahawan 1, 63000 Cyberjaya, Selangor Darul Ehsan atau
    Telefon: 03 8321 7400 atau 

    Faks: 03 8321 7403/ 7402.

  • Pertanyaan boleh juga dibuat melalui Talian Khidmat Pelanggan KPM di 03 7723 7070 atau emelkpkpm@moe.gov.my.

Permohonan akan dibuka kepada guru kelas dan ibubapa/ penjaga murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 dan akan menggunakan data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) kementerian sepenuhnya di http://www.sekolahmalaysia.com ataupun di http://apps2.moe.gov.my/sekolahmalaysia

Monday, 2 September 2013

Ingin ke Sekolah Berasrama Penuh?

Salam.
Murid-murid Tahun Enam (6) dan pelajar-pelajar Tingkatan Tiga (3) pada tahun ini yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan (4), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada tahun hadapan perlu peka dengan 'Pemberitahuan' di bawah.



Permohonan secara online Kemasukan Murid ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan Empat (4) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), KPM bagi tahun 2014 akan dibuka pada 1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. Sila layari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

- ikuti Prosedur Am Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh dalam entri yang akan datang.

Wednesday, 7 August 2013

Selamat Hari Raya




Salam.
SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN, terutama sekali kepada rakan-rakan dan pengunjung blog ini. Pada kesempatan yang tak ternilai ini, saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada pengunjung blog dan terima kasih juga kepada semua warga SK Abang Aing yang telah memberi sokongan yang tak berbelah bagi. 

Saya memohon jutaan maaf sekiranya sepanjang saya menyampaikan idea dan pandangan menerusi blog ini dan juga sepanjang menjalankan tugas terdapat tindakan dan bahasa yang mungkin menyinggung hati dan perasaan. Tidak terlintas untuk berbuat demiikian, sebaliknya saya hanya mahu menyampaikan pandangan dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan jujur dan berterus-terang atas niat dan tujuan yang satu: untuk kebaikan dan kelangsungan masa depan kita semua.

Selamat hari raya.


Tuesday, 23 July 2013

Cuti Raya 2013.

Salam.
Semua warga pendidik termasuk murid-murid dan ibubapa merasa lega apabila pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan Surat Siaran (sila baca di sini) yang bertarikh 19 Julai 2013. Apa tidaknya, Hari Raya Aidil Fitri yang dijangka jatuh pada hari Khamis, 8 Ogos 2013 adalah sehari setelah Cuti Pertengahan Penggal 2 yang bermula pada 7 Ogos 2013 bagi negeri-negeri dalam Kumpulan B. Mudahlah bagi warga pendidik terutama guru-guru balik berhari raya di kampung halaman dan begitu juga dengan ibubapa yang merancang percutian mereka.

Menurut Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 16 Tahun 2013, sekolah boleh memohon 4 Ogos atau 5 Ogos sebagai Cuti Peristiwa dan 5 Ogos atau 6 Ogos sebagai Cuti Berganti. 24 Ogos ditetapkan sebagai tarikh ganti bagi Cuti Berganti. Sila rujuk jadual di bawah.





Thursday, 18 July 2013

Majlis Penyerahan Cek Geran Peruntukan Pembangunan

Salam.
Tanggal 18 Julai 2013 ketika umat Islam menjalani ibadah puasa untuk hari yang ke 9, warga SK Abang Aing telah dikunjungi oleh rombongan YB Hajjah Simoi binti Haji Peri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.23 Lingga. Kunjungi beliau ke sekolah kerana menetapi apa yang telah beliau janjikan pada 12 Oktober 2012 semasa merasmikan Majlis Penangguhan Sukan Tahun Sekolah 2012 - baca di sini. 

Ketibaan YB Hajjah Simoi disambut oleh EXCO Persatuan Ibubapa Guru.
Kunjungan YB Hajjah Simoi binti Haji Peri dan rombongan ke SK Abang Aing bertujuan untuk menyerahkan cek geran peruntukan pembangunan bernilai RM30,000 dan menyampaikan cenderamata berupa buah kurma kepada semua guru serta kakitangan sekolah, di samping mengeratkan lagi hubungan silatulrahim dengan pihak sekolah. Lebih-lebih lagi beliau merupakan bekas pelajar SK Abang Aing dan pernah berkhidmat sebagai guru sandaran di sekolah ini. 

YB menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga sekolah.
Dalam ucapan penghargaan dan terimakasih kepada guru dan kakitangan sekolah, beliau berharap komitmen dan kesungguhan  yang telah ditunjukkan dapat dikekalkan demi melahirkan modal insan untuk pembangunan negara. Beliau turut terharu dengan kejayaan yang telah dicapai oleh pihak sekolah samada dalam bidang akademik dan kokurikulum. YB Hajjah Simoi juga berjanji akan sentiasa membantu sekolah dan PIBG dalam menyemarakkan lagi dunia pendidikan dalam kawasan DUN yang beliau wakili.

Penyerahan cek bantuan geran yang bernilai RM30,000.00
Cek bantuan geran pembangunan yang bernilai RM30,000.00 telah disampaikan oleh beliau kepada Encik Zaidi bin Sharkawi, Yang Dipertua PIBG yang mewakili pihak sekolah dan PIBG. Sehubungan dengan itu, YB Hajjah Simoi berharap peruntukan tersebut digunakan secepat mungkin untuk pembinaan Lorong Pejalan Kaki Berbumbung demi kepentingan anak didik yang belajar di SK Abang Aing.

Penyerahan buah kurma secara simbolik kepada Guru Besar.
Sempena dengan lawatan beliau ke sekolah, YB Hajjah Simoi mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan peribadi beliau berupa buah kurma kepada semua staf dan hadirin yang datang. Penyerahan telah dilakukan secara simbolik oleh beliau kepada Guru Besar. Lebih 100 paket buah kurma telah diserahkan oleh YB Hajjah Simoi yang seterusnya akan diagihkan oleh pihak sekolah.

Cenderamata dari pihak sekolah untuk tetamu kehormat.
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa

Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa

Begitulah budaya dan bahasa yang telah kita warisi sejak turun termurun dulu. Walau sepesat manapun kemajuan yang kita capai, warisan itu tetap kita pelihara dan kita jaga. Sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih, Guru Besar mewakilkan seluruh warga SK Abang Aing menyampaikan cenderamata kepada YB Hajjah Simoi binti Haji Peri.

Terima kasih Yang Berhormat.
- semua gambar disumbangkan oleh saudara Abang Rosni

Tuesday, 9 July 2013

Program Kecemerlangan UPSR 2013

Salam.
Ekoran daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan sebelum ini untuk calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 seperti Majlis Menandatangani Akujanji, Program Mentor-mentee, dan PERASA (Program Pembimbing Rakan Sebaya) sekadar menyebut beberapa aktiviti, Dewan Suarah Sri Aman sekali lagi menerima kedatangan 125 orang murid Tahun 6. Mereka berkampung selama dua hari untuk menjayakan Program Kecemerlangan  UPSR 2013. Program yang dijalankan pada 8 dan 9 Julai 2013, dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecemerlangan Akademik dengan kerjasama Persatuan Ibubapa Guru (PIBG).

Khusyuk mendengar ceramah dari fasilitator.
Matlamat yang jangka dicapai melalui Program Kecemerlangan UPSR 2013, meningkatkan motivasi dalam diri calon-calon yang akan menghasilkan keputusan UPSR yang cemerlang. Antara objektif yang disasarkan kepada calon-calon UPSR 2013 adalah:
  1. Menyuntik motivasi dan dorongan untuk maju
  2. Meningkatkan kesedaran diri yang positif
  3. Melatih dan membimbing mereka menjawab soalan-soalan UPSR
  4. Memberi lebih keyakinan semasa menghadapi UPSR
  5. Meningkatkan tekad dan azam untuk mencapai kecemerlangan.


Seramai 4 orang guru yang terdiri Ketua Pemeriksa Kertas UPSR, Guru Cemerlang, Jurulatih Utama (JU) dari setiap mata pelajaran telah dijemput menjayakan program tersebut. Mereka didatangi dari sekolah di daerah Samarahan dan Sri Aman yang terdiri daripada:
  1. Encik Wellington Laichong Gaong
  2. Puan Dayang Aishah binti Abang Haji Mohd Amin
  3. Cik Normala binti Haji Udin
  4. Encik Patrick Hansam


Cik Normala, pemeriksa Kertas Bahasa Melayu
Puan Dayang Aishah, sifu Matematik
Encik Patrick Hansam yang 'handsome'.

Adalah diharapkan dengan bimbingan dan tunjuk ajar dari sifu-sifu yang diundang khas, calon-calon UPSR 2013 lebih berkeyakinan untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang. Sasaran pada tahun ini iaitu, 83.20% lulus keseluruhan, Gred Purata Sekolah (GPS) 1.93 dan Cemerlang 5A seramai 20 orang dapat dicapai. Insyallah.