Sila Klik

Saturday, 21 December 2013

TAKWIM PERSEKOLAHAN 2014

Salam.
Cuti sesi persekolahan 2013 telah hampir ke penghujungnya, tak lama lagi maka sibuklah ibubapa merancang perbelanjaan untuk persediaan anak-anak mereka. Hari terakhir cuti sesi persekolahan 2013 bagi sekolah-sekolah di Sarawak adalah pada 1 Januari 2014, yang merupakan Cuti Umum sempena Tahun Baru. Tahun 2014, minggu pertama hari persekolahan hanya 2 hari, iaitu Khamis dan Jumaat.   
Antara aktiviti semasa cuti sekolah - sumber Kopipesz.blogspot.com
Mengimbas semula cuti selama 7 minggu yang hampir sampai penghujung . Ramai ibubapa yang sudah memenuhi cuti anak-anak mereka dengan pelbagai aktiviti. Ada yang telah pegi melancong dalam dan luar negeri, melawat keluarga di kampung, berkhatan (hehehe) dan bermacam-macam aktiviti untuk memenuhi cuti anak-anak. Walau apa-apa pun saat-saat gembira yang telah anak-anak lalui ibubapa perlu membuat persediaan untuk sesi persekolahan yang akan datang. Ingatlah peribahasa "sediakan payung sebelum hujan". Menghadapi sesi persekolahan 2014, memerlukan persediaan yang banyak, termasuk dari segi kewangan. Untuk panduan ibubapa dan murid-murid, disertakan Takwim Persekolahan 2014. Diharapkan dengan adanya takwim tersebut, perancangan yang dibuat tidak akan tergelincir.

Perancangan, takwim, kerja rumah, aktiviti kokurikulum, penilaian.

Wednesday, 11 December 2013

Tahniah! Murid-murid Yang Berjaya Ke (SBP) Sekolah Berasrama Penuh 2014.

Salam
Tahniah kepada 4 orang murid SK Abang Aing, Sri Aman yang telah ditawarkan ke Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Kuching. Mereka telah mendapat keputusan cemerlang UPSR (sekurang-kurangnya 4A1B) dan telah memohon ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) tersebut. Seramai 22 orang telah memohon ke SBP tersebut. Mereka yang berjaya dikehendaki melapor di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara pada 8 Januari 2014. Mereka terdiri daripada:
  1. Mohammad Rizqullah bin Jamaeini
  2. Muhammad Firdaus bin Zaharin
  3. Muhammad Hafiz bin Zawawie
  4. Suhana binti Hazmi

Untuk murid-murid yang telah memohon sila semak secara online menerusi aplikasi yang terdapat di laman web Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan memasukkan  angka giliran UPSR.

Semakan boleh boleh dibuat dipautan berikut : Semakan Kemasukan Tingkatan Satu SBP 2014

Sekolah Menengah Sains Kuching Utara, Sekolah Berasrama Penuh (SBP),
Aplikasi online yang disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)
Setelah memasukkan angka giliran UPSR, jika berjaya masukkan nombor KP/No. Surat Beranak untuk maklumat penempatan dan tarikh menlapor diri.


Tahniah. Sekolah Berasrama Penuh. Sekolah Menengah Sains Kuching Utara

Seandainya, tidak berjaya dan mahu merayu sila klik E-rayuan pada laman seterusnya.



Thursday, 7 November 2013

Tarikh Rasmi Keputusan UPSR 2013

Salam.
Debaran jantung 478,848 orang calon (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) UPSR 2013 semakin kuat. Semakin hampir tarikh rasmi keputusan UPSR 2013 diumumkan semakin lajulah debaran tersebut. Perkara yang sama turut dialami oleh 125 orang calon UPSR 2013 dari SK Abang Aing, Sri Aman. Mereka seolah-olah tidak sabar untuk mengetahui keupayaan masing-masing di dalam peperiksaan awam tersebut.

Mengimbas kembali sebelum menduduki UPSR 2013

Kebanyakkan maklumat dari blog-blog pendidikan menyatakan bahawa tarikh rasmi keputusan UPSR 2013 akan diumumkan dalam minggu ke 3 bulan November. Antaranya blog-blog yang mengupas tentang tarikh tersebut ialah NIZARAZU.COM, Gerbang Pendidikan, mysumber.com dan banyak lagi. Masa entri ini ditulis kita berada dalam minggu ke 2 bulan November. Maksudnya, tarikh rasmi adalah dalam minggu depan. Sama ada pada 11, 12, 13, 14 ataupun 15 November. Daripada amalan pada tahun-tahun sudah kecuali pada tahun 2012, tarikh rasmi keputusan UPSR diumumkan adalah pada minggu terakhir sesi persekolahan tahun semasa. Sahihlah ianya akan diumumkan pada minggu depan - minggu ke 3 bulan November.

Dari sumber yang tidak begitu sahih, tarikh rasmi keputusan UPSR akan diumumkan pada hari Khamis, 14 November 2013. Apa pun kita tunggu sajalah pengumuman rasmi dari Kementerian Pendidikan Malaysia sedikit masa lagi.

Inilah yang akan kita lihat pada 14 November nanti.

Wednesday, 23 October 2013

Guru-guru dan Pentadbir Sekolah di Bumi Kenyalang !!! - Ayuh kita melaksanakan Ujian Kompetensi ICT

Salam.

Pastikan bukan kita
Pelaksanaan ujian kompetensi ICT kepada semua pegawai perkhidmatan pendidikan (guru dan pentadbir sekolah) bagi negeri Sarawak dilaksanakan hari ini 23 Oktober 2013 (Rabu), bermula jam 8.00 pagi dan berakhir 12.00 tengah malam pada 31 Oktober 2013 (Khamis). Ujian tersebut boleh diakses 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. 

Matlamat ujian tersebut bertujuan mengumpul data yang membantu pihak Kementerian Pendidikan Malaysia merancang dan melaksana program latihan yang tepat berdasarkan tahap digital literasi guru dan pentadbir sekolah. Ini merupakan salah satu inisiatif di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Untuk Memulakan Ujian, Sila Klik Di sini



Guru dan pentadbir sekolah (Pengetua dan Guru Besar) haruslah menjawab ujian ini dengan penuh nilai integriti dan profesional untuk memastikan data hasil dari ujian ini adalah tepat untuk membantu pihak KPM merancang dan melaksana program latihan pembangunan profesionalisme secara berterusan.

Terdapat 30 soalan berbentuk objektif yang perlu dijawab kesemuanya dalam tempoh 40 minit menggunakan pelbagai peranti (device) telekomunikasi. Contohnya: computer, iPad, tablet, smartphone dll.

Sila Klik Di sini Untuk Memulakan Ujian.


Guru atau pentadbir sekolah diminta memasukkan kad pengenalan untuk masuk ke ruang dashboard ujian dan ikutilah arahan seterusnya. Untuk perhatian setiap soalan mesti dijawab sebelum boleh bergerak ke soalan berikutnya. Ujian harus dilaksanakan dalam tempoh yang telah ditetapkan dan boleh dilakukan di luar sesi persekolahan.

Selamat memerah otak.


Monday, 9 September 2013

KAMI JUARA LAGI!

Salam.
Tahniah kepada kontingen SK Abang Aing yang telah menjuarai Pertandingan Pendidikan Lalu Lintas Sekolah Daerah Sri Aman 2013. Pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh Majlis Daerah Sri Aman dengan kerjasama pihak SHELL Malaysia.  Sebelum pertandingan tersebut diadakan pihak penganjur telah memberi peluang dan kemudahan kepada sekolah-sekolah yang mengambil bahagian untuk menjalani latihan di Taman Lalu Lintas. Latihan yang dlakukan di bawah seliaan pegawai-pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan dan pihak PDRM.
.
Kontingen SK Abang Aing.
Acara tahunan tersebut dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada generasi muda terutama para pelajar agar mematuhi undang-undang dan keselamatan jalan raya bagi mengelak kemalangan. Lebih seratus orang pelajar dari 7 buah sekolah dalam daerah Sri Aman telah mengambil bahagian. Pertandingan tersebut dibahagi kepada 2 kategori iaitu Kategori Sekolah Rendah dan Kategori Sekolah Menengah.

Kejayaan milik mereka.
Dalam Kategori Sekolah Rendah, SK Abang Aing telah dinobatkan sebagai juara, manakala naib juara disandang oleh SJK Chung Hua Simanggang dan SK Melugu tempat ketiga. Majlis Penutupan Rasmi dan Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Muda Perumahan merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia Luar Bandar, YB Datuk Francis Harden ak Hollis. Turut hadir dalam majlis tersebut terdiri daripada Walikota Majlis Daerah Sri Aman, wakil dari SHELL Malaysia, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Masyarakat termasuk guru dan pelajar dari sekolah yang mengambil bahagian.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh YB Datuk Francis Harden ak Hollis
Sebagai juara peringkat daerah Sri Aman, kontingen dari SK Abang Aing mewakili daerah ke pertandingan peringkat negeri Sarawak yang akan berlangsung di Kuching sekitar Oktober nanti. Sama-samalah kita berdoa agar SK Abang Aing akan terus menempa kejayaan untuk mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.

Bersama hadiah dan sijil masing-masing.

Thursday, 5 September 2013

Selamat Menduduki UPSR 2013.

Salam.
Selamat Menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada  murid-murid Tahun 6, SK Abang Aing. Pada tahun SK Abang Aing mengenengahkan seramai 125 orang calon UPSR. Peperiksaan yang akan dilangsungkan serentak seluruh negara untuk semua murid Tahun 6 akan diadakan dari 10 hingga 12 September akan datang.

Calon-calon UPSR 2013 bersama guru-guru.

Sasaran Pencapaian yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah pada tahun ini ialah 83.2% lulus semua mata pelajaran dengan sekurang-kurangnya mendapat Gred C. Di samping itu juga, Gred Purata Sekolah (GPS) yang telah disasarkan ialah 1.99 mata dan lulus cemerlang 5A seramai 15 orang. 

Selamat berjaya. 

Wednesday, 4 September 2013

MERDEKA RAYA, SK ABANG AING MERIAH!

Salam.
Sempena dengan majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan 2013, seluruh warga SK Abang Aing telah menyemarakkan majlis tersebut dengan sambutan Hari Kemerdekaan semasa Majlis Ramah-tamah Idul Fitri. Perhimpunan di Dataran Kemerdekaan diadakan seawal jam 7.30 pagi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang. 

Kibaran Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik.

Majlis diteruskan dengan kupasan sejarah kemerdekaan negara yang disampaikan oleh Encik Kamsul Mohd Pon, Penolong Kanan Kokurikulum selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan. Bertepatan dengan tema Hari Kemerdekaan Ke 56 pada tahun ini Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, beliau telah menyeru seluruh warga SK Abang Aing agar menjadikan 'kemerdekaan' yang disambut setiap tahun sebagai hadiah yang tidak ternilai daripada generasi terdahulu.

Model-model generasi Merdeka.

Aktiviti di Dataran Kemerdekaan diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang keunikan pakaian patriotik. Majlis disempurnakan oleh Guru Besar, Encik Wan Ismail bin Wan Chula. Sekali lagi, lagu patriotik berkumandang membakar semangat perhimpunan pada pagi tersebut.

Pemenang pertandingan Pakaian Patriotik.

Tepat jam 8.30, suasana sambutan bertukar dengan majlis menjamu selera juadah Idul Fitri. Murid-murid dari setiap buah kelas mengadakan 'Rumah Terbuka' untuk guru-guru. Sebagai tetamu, guru-guru dan kakitangan sekolah telah dijamu dengan pelbagai juadah.

Pegawai Daerah Sri Aman, antara tetamu yang hadir.
Selesai 'Rumah Terbuka' yang dianjurkan oleh murid-murid, aktiviti seterusnya beralih ke Dewan Sekolah. Guru dan kakitangan bersedia menrima kunjungan ibubapa dan tetamu jemputan. Antara yang hadir pada majlis tersebut termasuk Yang Dipertua PIBG, Pegawai Daerah Sri Aman, Pengurus Cawangan Bank Rakyat, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Masyarakat dan ibubapa.
Tetamu jemputan menjamu selera.

Majlis bergambar beramai-ramai.
Majlis diakhiri dengan guru dan para jemputan bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan.

Tuesday, 3 September 2013

Prosedur Am Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP)

Salam.
Seperti yang dijanjikan di dalam entri terdahulu  (klik di sini), dipaparkan Prosedur Am Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kawalan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Menerusi informasi terkini di laman portal Kementerian Pendidikan Malaysia, permohonan secara online (atas talian) untuk kemasukan murid ke tingkatan satu dan tingkatan empat di Sekolah Berasrama Penuh, KPM bagi Sesi 2014 telah dibuka pada 1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. Sila layari laman web KPM di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

Permohonan Online Ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 1 Dan Tingkatan 4 Sesi 2014

Cara Memohon SBP & Sekolah Kawalan
  • Pelajar Tahun 6 yang akan menduduki UPSR 2013 pada 10 hingga 12 September akan datang boleh memohon Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki PMR 2013 hanya boleh memohon Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sahaja.
  • Permohonan perlu dibuat secara online melalui Aplikasi Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan.
  • Pastikan maklumat yang dimasukkan adalah betul dan tepat kerana maklumat yang tidak tepat boleh menjejaskan peluang memasuki kedua-dua institusi tersebut.
  • Untuk mengakses dan membuat permohonan sila klik pautan di bawah:
  • Sebagai panduan untuk mengisi aplikasi tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan manual dalam talian. Sila klik pautan di bawah: 

Tarikh Tutup
  • Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan bagi sesi 2014 akan ditutup pada 15 Oktober 2013.
Maklumat
  • Sebarang pertanyaan boleh juga diajukan kepada :

  • Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Aras 3, Blok 2251, Jalan Usahawan 1, 63000 Cyberjaya, Selangor Darul Ehsan atau
    Telefon: 03 8321 7400 atau 

    Faks: 03 8321 7403/ 7402.

  • Pertanyaan boleh juga dibuat melalui Talian Khidmat Pelanggan KPM di 03 7723 7070 atau emelkpkpm@moe.gov.my.

Permohonan akan dibuka kepada guru kelas dan ibubapa/ penjaga murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 dan akan menggunakan data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) kementerian sepenuhnya di http://www.sekolahmalaysia.com ataupun di http://apps2.moe.gov.my/sekolahmalaysia

Monday, 2 September 2013

Ingin ke Sekolah Berasrama Penuh?

Salam.
Murid-murid Tahun Enam (6) dan pelajar-pelajar Tingkatan Tiga (3) pada tahun ini yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan (4), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada tahun hadapan perlu peka dengan 'Pemberitahuan' di bawah.



Permohonan secara online Kemasukan Murid ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan Empat (4) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), KPM bagi tahun 2014 akan dibuka pada 1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. Sila layari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

- ikuti Prosedur Am Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh dalam entri yang akan datang.

Wednesday, 7 August 2013

Selamat Hari Raya




Salam.
SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN, terutama sekali kepada rakan-rakan dan pengunjung blog ini. Pada kesempatan yang tak ternilai ini, saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada pengunjung blog dan terima kasih juga kepada semua warga SK Abang Aing yang telah memberi sokongan yang tak berbelah bagi. 

Saya memohon jutaan maaf sekiranya sepanjang saya menyampaikan idea dan pandangan menerusi blog ini dan juga sepanjang menjalankan tugas terdapat tindakan dan bahasa yang mungkin menyinggung hati dan perasaan. Tidak terlintas untuk berbuat demiikian, sebaliknya saya hanya mahu menyampaikan pandangan dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan jujur dan berterus-terang atas niat dan tujuan yang satu: untuk kebaikan dan kelangsungan masa depan kita semua.

Selamat hari raya.