Sila Klik

Wednesday, 13 August 2014

Tahniah Penerima APC 2014.

Salam.
Esok, Jumaat 27 Jun 2014 akan berlangsung penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) untuk guru dan kakitangan sekolah daerah Sri Aman di Hotel Seri Simanggang, Bandar Sri Aman. Lebih kurang 8 peratus guru dan kakitangan sesebuah  sekolah dipilih sebagai penerima APC setelah melalui tapisan laporan penilaian prestasi tahunan dan perakuan ketua jabatan. Cakap-cakap tentang APC bukan perkara baru justeru memang semua penilaian dan pengukuran terdedah kepada isu-isu kesahan, kebolehpercayaan dan ralat.


Tumpang sekaki
Sebagus manapun reka bentuk sesuatu instrumen penilaian dan pengukuran, unsur persepsi tentang ketepatannya tidak dapat dihapuskan. Pemilihan penerima APC yang sepatutnya membawa kebaikan kepada organisasi atas prinsip menang-menang boleh bertukar kepada beban tekanan kepada kelompok tertentu. Maka, pihak panel penilaian dan pengukuran APC selalu digesa lebih telus dalam memberi justifikasi tentang kriteria pemilihan dan mempamerkan hikmah dalam menghadapi kritikan senyap.

Hakikatnya, kesempurnaan dan sumbangan maksimum kepada organisasi bukanlah tiket automatik atau jaminan pasti untuk terpilih dalam sesuatu penganugerahan kerana khidmat yang diberikan. Saidina Abu Bakr as-Siddiq dalam ucapan pemasyhuran beliau sebagai khalifah ar-Rasyidin yang pertama menyebut bahawa beliau bukanlah orang terbaik yang layak diangkat sebagai pemimpin, tetapi menerima jawatan berkenaan atas dasar keputusan syura. Hendaknya sekalian penerima APC juga mengambil sikap yang serupa agar rasa hormat terhadap keputusan organisasi dan semangat setia kawan sentiasa menjadi keutamaan.

Sehubungan dengan majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), seramai 7 orang warga SK Abang Aing telah dipilih oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia peringkat sekolah. Syabas dan tahniah kepada:
  1. Ustaz Azman bin Ariffin
  2. Puan Dayang Faridah binti Abang Nor
  3. Puan Salmah binti Sahari
  4. Puan Sharifah Jama'aiah binti Wan Zain
  5. Puan Tan Ah Ching
  6. Puan Suzan Wee
  7. Puan Saftuyah binti Wasli
Penganugerahan ini merupakan penghargaan dan  pengiktirafan Kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam yang telah mempamerkan perkhidmatan yang cemerlang dan kualiti kerja sepanjang tahun yang mempunyai kelebihan tertentu berbanding dengan pegawai lain.
Matlamat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang adalah untuk menginstitusikan budaya kerja yang cemerlang di kalangan penjawat awam di mana setiap mutu dan penghasilannya melebihi daripada keperluan dan  tanggungjawab biasa bagi jawatannya. Di samping itu, perkhidmatan yang diberikan itu boleh menjadi contoh dan ikutan serta boleh diteladani ke arah memajukan perkhidmatan awam. 


Tuesday, 12 August 2014

GRED PURATA SEKOLAH (GPS) atau PERATUS KELULUSAN

Salam.
Masa berbaki sebelum menjelang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tinggal lagi 27 hari a.k.a 18 hari persekolahan. Maknanya, calon-calon UPSR hanya berpeluang mengadap dan bertelaah dengan guru-guru mereka untuk 18 hari lagi, yang selebihnya adalah hari-hari mengulangkaji tanpa guru. Betapa singkatnya masa, kalau selama ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Demi Masa!. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. - Surah Al-'Asr

Setelah mengharungi 8 penilaian, calon-calon UPSR telah menunjukkan prestasi yang bagus, walaupun masih ada calon menunjukkan peningkatan yang tidak tekal (consistent) - ada ketikanya meningkat dan ada waktunya menurun. Ini terbukti apabila keputusan penilaian digambarkan melalui peratusan lulus semua kertas. 


Manakala, dari segi bilangan calon yang telah memperbaiki gred mereka atau GPI (Gred Purata Individu), agak memberangsangkan. Maknanya semakin ramai yang telah memperolegi Gred A, B atau C dalam setiap kertas penilaian atau semakin kurang yang memperolehi Gred D atau E. 


Antara harapan dan impian.
Keyakinan menjadikan impian menjadi kenyataan.
Dalam hal ini, impian dan harapan dua perkataan yang ideal bagi semua calon UPSR, masing-masing mempunyai impian untuk lulus cemerlang. Masing-masing juga meletakkan harapan agar impian menjadi kenyataan. Merealisasi hasrat tersebut, pepatah sering mengingatkan jangan seperti angan-angan Mat Jenin, berusahalah dan sentiasa berpijak di bumi nyata.




Thursday, 7 August 2014

BERTUAHNYA CALON-CALON UPSR 2014

Gambar Kenangan Bersama Dr Abang Hut bin Abang Engkeh
Salam.
Tarikh, 6 Ogos 2014 merupakan hari bertuah bagi calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014. Pada tarikh tersebut, seramai 107 murid-murid Tahun 6 telah berpeluang mendapat bimbingan dan mengikuti ceramah motivasi Dr Abang Hut bin Abang Engkeh, Timbalan Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Cawangan Sarawak. Majlis yang berlangsung dari pukul 8.00 hingga pukul 10.00 merupakan salah satu aktiviti Program Gerak Gempur UPSR yang telah memasuki Fasa Kedua.  

Gaya bersahaja Dr Abang Hut menyampai Ceramah Motivasi
Ceramah dan bimbingan dari Dr Abang Hut yang berlangsung selama 2 jam telah menambah lagi keyakinan para peserta untuk memperolehi keputusan yang cemerlang seperti yang telah disasarkan dalam Majlis Akujanji 2014. Pada penghujung sesi ceramah, murid-murid diajak bermuhasabah diri mengimbas kembali salahlaku mereka terhadap ibubapa masing-masing sebelum ini. Kemudian mereka diminta untuk menulis satu nota ringkas mohon keampunan yang akan diserah kepada ibubapa masing-masing.


Sepagi bersama Dr Abang Hut telah memberi dimensi baru pada diri peserta semasa saat-saat akhir persediaan menghadapi UPSR. Mereka telah dibimbing langkah demi langkah dan disuntik semangat agar lebih bersedia untuk menghadapi UPSR. Dengan tempoh menghadapi UPSR yang berbaki hanya 33 hari, ceramah tersebut menambah lagi keyakinan kepada mereka.

Ceramah Dr Abang Hut memberi dimensi baru terhadap keyakinan calon-calon UPSR
Antara ibubapa yang hadir Ceramah Keibubapaan
Sesi kedua, ceramah Dr Abang Hut adalah khusus untuk ibubapa calon-calon UPSR. Lebih 100 orang yang terdiri dari guru dan ibubapa berpeluang berinteraksi dengan beliau semasa Ceramah Keibubapaan. Isi ceramah berkisar tentang peranan dan tanggungjawab ibubapa pada saat-saat akhir persediaan anak-anak mereka menghadapi UPSR. Sepanjang ceramah, guru dan ibubapa yang hadir khusyuk dengan celoteh Dr Abang Hut sehingga masa selama 2 jam terasa amat singkat. Suasana khusyuk kadang-kadang diselangi dengan hilai ketawa bila penceramah menyelitkan unsur humor dalam ceramah beliau. Adalah menjadi harapan semua ibubapa yang hadir berharap Dr Abang Hut dapat dijemput semula pada masa akan datang.


Tuesday, 29 July 2014

Program Gerak Gempur UPSR 2014, Fasa II - Minggu Pertama (04.08.2014 - 08.08.2014)

Salam.
Alhamdudillah, cuti seminggu Idul Fitri hampir ke penghujungnya. Sedang menunggu ialah Program Gerak Gempur UPSR Fasa II, lanjutan daripada program yang telah dijayakan sepanjang Ramadhan. Melihat kepada impak program tersebut, ianya dilanjutkan dan akan memasuki fasa yang seterusnya bermula pada 4 Ogos 2014, cuma pendekatan dan strateginya diubahsuai mengambilkira kekuatan dan keperluan terkini calon-calon UPSR.



Dengan bertemakan "Cabaran UPSR 2014", pendekatan untuk Fasa II lebih berfokus untuk setiap kertas peperiksaan UPSR. Bagi kertas Bahasa Melayu Penulisan, fokus lebih diberikan kepada Bahagian C sementara Bahasa Melayu Pemahaman, pemberatan lebih diberikan kepada soalan tatabahasa. Sementara untuk kertas Matematik Kertas 2, tumpuan diberikan kepada soalan yang membawa 2 dan 3 markah. Dengan kata lain, pendekatan program dalam Fasa II, menjurus kepada memperbanyakkan Gred A dan 'mensifarkan' Gred E.

Persoalannya, mampukah calon-calon UPSR 2014 mengatasi keputusan setiap kertas UPSR 2013? Keputusan UPSR 2013, adalah keputusan terbaik yang pernah dicapai dengan Bahasa Melayu Pemahaman 97.60%, Bahasa Melayu Penulisan 95.20%, Bahasa Inggeris 80.80%, Matematik 95.20% dan Sains 96.00%. Sama-samalah kita lihat hasilnya nanti.



Sebagai panduan ibu bapa dan calon-calon UPSR 2014, SK Abang Aing berikut adalah cadangan aktiviti Program UPSR 2014 Fasa II untuk minggu pertama. Diharapkan semua ibu bapa calon-calon menghadiri Ceramah Keibubapaan yang akan diadakan pada 6 Ogos di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 1030 pagi. Sama-samalah kita mengambil peranan dan tanggungjawab untuk kecemerlangan UPSR 2014.


Gerak Gempur UPSR 2014 Fasa II, Minggu Pertama from sifu Wan
(sila klik image untuk lebih jelas)


Saturday, 26 July 2014

Mengimbas Kembali Program gerak gempur UPSR 2014 Fasa I

Salam.
Alhamdudillah, Program Gerak Gempur UPSR 2014 Fasa I telahpun berakhir pada 25 Julai 2014 yang lalu. Program yang penuh dengan aktiviti pengisian rohani dan memantapkan sahsiah peserta diadakan  sepanjang Ramadhan Al-Mubarak. Program yang diadakan seawal jam 0700 pagi dengan bacaan surah Yasin secara berjemaah dan berakhir jam 1530 petang setiap hari kecuali pada hari Jumaat.




Sepanjang program, penilaian mirip Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diadakan setiap minggu. Selepas 3 kali penilaian, impak terhadap prestasi peserta program agak ketara. Bermula dengan 53.27% sebelum program, peratusan lulus keseluruhan meningkat kepada 67.29%. Manakala, Gred Purata Sekolah (GPS) mengecil dari 2.61 mata kepada 2.47 mata.

Bacaan surah Yasin semasa majlis Solat Hajat Perdana 2013

Malah sepanjang Program Gerak Gempur UPSR 2014 Fasa I beberapa permasalahan telah dapat dirungkai beberapa isu telah dapat dikenalpasti punca sebab dan akibatnya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa menjayakan program tersebut memerlukan 'keletihan otak' dan 'penggunaan gear' di tahap yang lebih tinggi malah akibat dari 'ketegangan minda' beberapa insiden di luar dugaan berlaku.

# meminjam istilah yang sering digunakan oleh rakan-rakan peneraju program


Mengimbas kembali sebahagian daripada aktiviiti Majlis Memohon Restu 2013

Program Gerak Gempur UPSR 2014 Fasa II, akan dimulakan selama sebulan dari 4 Ogos hingga 5 September 2014. Program dimulakan dengan ceramah motivasi oleh seorang motivator yang merupakan pensyarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak dan diakhiri dengan solat Hajat Perdana dan Majlis Memohon Restu.


Sunday, 20 July 2014

Penilaian 2 - Program Gerak Gempur UPSR 2014

Salam.
Dengan masa berbaki 50 hari lagi sebelum Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, murid-murid Tahun 6, SK Abang Aing tetap bersemangat menjalani Fasa I, Program Gerak Gempur UPSR 2014. Setelah menunjukkan pencapaian yang agak memberangsangkan dalam Penilaian 1, mereka terus gigih. Hasilnya dapat diterjemahkan dalam keputusan Penilaian 2 yang telah dijalani pada minggu lepas (14 Julai hingga 17 Julai).



Secara keseluruhannya, peratus kelulusan meningkat dari 61.32% kepada 68.22%, begitu juga dengan Gred Purata Sekolah (GPS) ianya mengecil dari 2.62 mata kepada 2.51 mata. Walaupun kelulusan Bahasa Melayu Pemahaman menunjukkan sedikit penurunan untuk peratus kelulusan tetapi Bahasa Melayu Penulisan dalam jajaran yang meningkat samada peratus kelulusan atau GPMP (Gred Purata Mata Pelajaran). Kertas Matematik pula, selepas meningkat lebih dari 10 peratus minggu lepas, kali ini menurun 2.6% tetapi GPMP agak memberangsang. Sementara Mata pelajaran Sains, memperlihatkan pergerakan positif baik peratus mahupun GPMP. 

Kalau beginilah momentum yang ditunjukkan, saya tetap optimis keputusan sebenar UPSR nanti adalah seperti yang disasarkan walaupun terdapat sedikit perbezaan dari segi kualiti. Insya Allah.

Monday, 14 July 2014

KEPUTUSAN PENILAIAN I - GERAK GEMPUR UPSR 2014

Salam.
Program Gerak Gempur UPSR Fasa 1, telah masuk minggu kedua. Selain daripada "workshop" cara-cara menjawab soalan-soalan UPSR, peserta program juga diberi santapan rohani dengan ceramah motivasi, sesi tazkirah dan bacaan yasin serta tadarus al-Quran untuk yang beragama Islam. Progam dimulakan sewal jam 7.00 pagi sehingga jam 3.30 petang. Sementara menunggu aturcara di sebelah petang, sembahyang berjemaah Zohor diadakan di Dewan Sekolah.

Peserta program sedang menjawab soalan-soalan penilaian mirip UPSR
Satu siri kertas Kertas penialian mirip UPSR disediakan untuk peserta=peserta Program Gerak Gempur UPSR setiap minggu. Kemampuan perserta dan keberkesanan program diukur melalui keputusan penilaian. Keputusan Penilaian I telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan. GPS (Gred Purata Sekolah) mencapai 2.61 mata dan peratusan kelulusan telah melonjak ke angka 61.32%. Berikut adalah butiran lanjut mengenai penilaian tersebut.


Adalah menjadi harapan semua pihak agar keputusan penilaian sepanjang Program Gerak Gempur UPSR 2014 terus meningkat dan boleh menghampiri sasaran yang telah ditetapkan. Calon-calon UPSR 2014, sentiasa diingatkan tentang sasaran yang telah dipersetujui.
  • Kelulusan penuh : 82.24% (88 orang)
  • Gred Purata Sekolah : 1.84 
  • Lulus Cemerlang 5A : 15 orang


Sunday, 6 July 2014

PRESTASI TERKINI CALON-CALON UPSR 2014 - khusus untuk putera-puteriku

Salam.
Nampak gayanya, calon-calon UPSR (Ujian Pencapaian Sekolah Rendah) 2014, perlu berusaha lebih keras. Ayuh putera-puteriku, dengan masa hanya berbaki 64 hari sebelum tarikh penting 9, 10 dan 11 September 2014 tiada masa untuk perkara-perkara sampingan yang tidak memberi sebarang manfaat. Ketepikan dulu facebook, twitter dan instragram, juga hadkan masa untuk termangu di depan televisyen. 


Pasangkan tali pinggang keselamatan dan ubah kedudukan kepada gear yang lebih tinggi. Kita perbetulkan haluan dan bidik pada sasaran yang telah ditetapkan semasa Majlis Menandatanganii Akujanji. Jangan kecewakan harapan ayah dan bonda tercinta. Jangan sia-siakan usaha dan pengorbanan guru-guru yang tidak pernah kenal rasa putus asa dan yang sangat penting, janjilah masa depan yang gemilang. Kecemerlangan UPSR ada titik permulaan.

Majlis Menandatangani Akujanji 2014
Pencapaian semasa masih jauh dari sasaran yang telah dipersetujui bersama. 
  • 82.94%, kelulusan semua subjek
  • 15 orang, lulus cemerlang
  • 1.85, Gred Purata Sekolah.
Bandingkan dengan pencapaian Jun 2014 di bawah.



Thursday, 3 July 2014

Gerak Gempur UPSR 2014.

Salam.
Tarikh 9, 10 dan 11 September 2014 semakin dekat. Tinggal 67 hari saja lagi. Kalau dikira bilangan hari bersekolah yang tinggal, hanya berbaki 41 hari. Seram sejuk dibuatnya, rata-rata guru mata pelajaran cemas. Bimbang sasaran yang ditetapkan oleh JK Kecemerlangan Akademik tak dapat dicapai. 


Sasaran UPSR 2014  from Sifu

Alahai, murid-murid yang menduduki UPSR, guru pulak cemas. Itulah fenomena yang sering terjadi bila Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semakin hampir. Bak kata orang makan tak kenyang, tidor tak lena dan mandi tak basah. Empunya diri, iaitu calon-calon UPSR 'cool' memanjang. Tak tahulah apa yang berserabut dalam pemikiran mereka sehingga tak ada ruang untuk memikir tentang UPSR.


Memandangkan faktor kesempitan masa, maka Gerak Gempur UPSR 2014 yang dijadualkan pada 5 Ogos 2014 telah diawalkan pada Isnin, 7 Julai 2014. Kira-kira sebulan lebih awal. Untuk Fasa Pertama ini (7 Julai - 25 Julai), calon-calon akan didedahkan dengan 3 set kertas soalan melalui 3 Siri Penilaian dan Kupasan Jawapan oleh guru setiap kali penilaian. Semasa dalam tempoh Gerak Gempur, program lain seperti Mentor-mentee dan Rakan Sebaya diperhebatkan lagi. Malah, bersempena dengan Semangat Ramadan, suapan untuk emosi dan rohani peserta menjadi keutamaan.


  

Gerak Gempur UPSR 2014, memberi lebih penekanan kepada jati diri dan kesedaran dalaman murid-murid. Tanpa kedua-duanya semua usaha guru dan ibu bapa akan menjadi sia-sia. Sepanjang program, murid-murid diajak mengenali lebih dekat Pencipta Alam Semesta, Allah SWT melalui solat berjemaah, mendengar tazkirah dan bertadarus.


 
Cadangan pelan tindakan from Sifu.

Fasa Kedua, akan bermula dari 5 Ogos 2014 dan diakhiri dengan Majlis Memohon Restu  pada 5 September 2014. Semoga dengan usaha-usaha yang dijalankan, akan menyemarak lagi kegigihan calon-calon UPSR 2014 untuk mendapat keputusan yang cemerlang.