Sila Klik

Tuesday, 10 March 2015

KELULUSAN SERATUS PERATUS DIIKAT MELALUI MAJLIS AKUJANJI 2015

Salam.
Majlis Akujanji 2015 yang telah diadakan pada 26 Februari 2015, di Dewan Suarah Sri Aman lebih merupakan serampang tiga mata untuk Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), calon-calon UPSR dan pihak sekolah. 
  1. Memberi semangat dan kesedaran kepada ibubapa dan murid 
  2. Menentu dan mengesahkan sasaran / target UPSR 2015 bagi SK Abang Aing
  3. Menjalin kerjasama padu antara ibubapa dan guru dalam usaha membantu meningkatkan prestasi murid. 
Adik Izzul Haziq mengetuai bacaan ikrar.
Majlis yang dianjurkan oleh JK Kecemerlangan Akademik Sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibubapa Guru menghimpun seramai 95 orang calon UPSR 2015 dengan waris masing-masing dan disaksikan oleh pihak pentadbir sekolah, tenaga pengajar kelas Tahun 6, Yand Dipertua dan ahli EXCO Persatuan Ibubapa Guru dan penceramah jemputan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Azman bin Ariffin.

Bacaan ikrar Akujanji oleh 95 orang calon UPSR 2015 yang  diketuai  adek Izzul Haziq bin Abdul Harun sebagai tanda persetujuan sasaran / target UPSR direstui oleh pihak sekolah dan ibubapa. Sebagai tanda simbolik, 'scroll' ikrar terus diserah kepada Encik Abu Kassim bin Harun, Yang Dipertua PIBG mewakili ibubapa dan seterusnya beliau menyerah 'scroll' tersebut kepada Puan Julia Mohd Hashim, Penyelaras Program Akujanji yang mewakili guru-guru Tahun 6.



Majlis Akujanji 2015 diteruskan dengan ucapan dari Guru Besar dan seterusnya merasmikan program tersebut. Dalam ucapan beliau, ditegaskan betapa pentingnya sinergi di kalangan ibubapa dan sekolah dalam usaha meningkatkan prestasi akademik anak-anak terutamanya dalam peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Seluruh kekuatan dan kemahiran yang ada perlu digemblengkan; kemantapan dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) serta komitmen menyediakan keperluan anak-anak dari segi sokongan kewangan dan semangat.


Sebagai pelengkap kepada Majlis Akujanji 2015, satu ceramah motivasi dan kesedaran turut diadakan sebagai santapan rohani para hadirin dan hadirat. Penceramah jemputan yang diundang ialah Dr Abang Hut bin Abang Engkeh, Timbalan Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Cawangan Sarawak. 


Ceramah diadakan untuk berkonsi ilmu dan kemahiran mendidik anak-anak generasi Z dalam menongkah arus teknologi dan pembangunan yang pesat membangun di samping menyediakan perisai agar generasi ini tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Penceramah menaruh harapan yang tinggi agar dengan adanya sinergi antara sekolah dan ibubapa dapat melahirkan anak-anak generasi cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Langkah pertama Dr Abang Hut menawan hati para ibubapa.

Langkah kedua menyelami apa yang terbuku di sanubari anak-anak.
Dr Abang Hut, dengan pendekatan yang tersendiri berupaya menghidupkan sesi ceramah beliau dengan agak berkesan. Beliau mampu menyelam apa yang tersirat dan tersurat di sanubari para hadirin dan menjadikan ceramah beliau begitu terkesan dan meninggalkan impak yang agak besar terhadap kesedaran untuk guru, ibubapa dan murid-murid sekaligus.


Secara spontan menyelami hati nurani audien.
Dengan kelebihan kemahiran untuk berinteraksi dengan 'audien', ceramah Dr Abang Hut meninggalkan seribu kenangan kepada calon-calon UPSR 2015 dan waris masing-masing. Pada satu-satu ketika Dewan Suarah bergema dengan ketawa dan pada ketika yang lain, suasana menjadi begitu syahdu sehingga airmata kesedaran mengalir terutama kepada ibubapa. 

Dr Abang Hut dengan pendekatan ceramah yang tersendiri.


Syabas kepada JK Pengelola Majlis Akujanji 2015 dan Persatuan Ibubapa Guru kerana telah berjaya membawa Timbalan Pengarah IAB Cawangan Sarawak untuk menyampai ceramah kepada calon-calon UPSR 2015 dan ibubapa masing-masing. Rata-rata ibubapa melahirkan rasa puas hati dengan penyampaian dan kandungan ceramah Dr Abang Hut bin Abang Engkeh. Mereka melahirkan rasa terima kasih kepada penganjur dan berharap agar majlis seperti itu diadakan dengan lebih kerap.

Senyuman menandakan harapan ayah bonda tidak akan disia-siakan.


Terkedu dengan kesedaran dari ceramah Dr Abang Hut

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Kemuncak majlis Akujanji : Calon-calon UPSR dan waris menandatangani Ikrar Akujanji.





Sunday, 8 March 2015

Ceramah Keibubapaan - Pencetus Kesedaran

Salam.
Seawal jam 7.00 pagi 8 Februari 2015 (Ahad), kaunter pendaftaran telah dibuka di tingkat 1 Hotel Seri Simanggang, Sri Aman. Para petugas sibuk mendaftaran kehadiran ibubapa murid Tahun 6, SK Abang Aing. Walaupun, ceramah akan dimulakan pada pukul 7.30 pagi namun Bilik Ceramah yang terletak di tingkat 2 telah mula menerima kehadiran ibu bapa. Mereka begitu teruja untuk mendengar ceramah yang akan disampaikan oleh penceramah jemputan.

JK Pendaftaran mula bertugas seawal pukul 7.00 pagi.

Ceramah Keibubapaan yang dianjurkan oleh Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), dan SK Abang Aing dengan kerjasama Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak (MIS) telah mendapat sambutan yang menggalakkan. Ceramah yang bertajuk "Peranan Ibu Bapa Dalam Memacu Kejayaan Murid" adalah antara usaha pihak PIBG dan sekolah "Ke Arah Kecemerlangan UPSR 2015", di samping membangkitkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran dunia pendidikan di Abad Ke 21.



Sebagaian dari peserta Majlis Ilmu menunggu kehadiran penceramah.

Majlis dimulakan dengan ucapan Encik Wan Ismail b Wan Chula, Guru Besar, SK Abang Aing merangkap Pengerusi JK Pengelola Program Kecemerlangan UPSR 2015. Dalam ucapan perasmian, beliau menggariskan beberapa objektif penganjuran ceramah. Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Dr Haji Zuwali Kifli Merawi, Timbalan Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan, MIS, Encik Abu Kassim Harun, Yang Dipertua PIBG, Puan Jaliah Usun, Penolong Kanan HEM merangkap Penyelaras Majlis Ceramah Keibubapaan, ahli EXCO Persatuan Ibubapa Guru, guru-guru dan ibubapa murid-murid Tahun 6.


Guru Besar menyampaikan ucapan perasmian.


Puan Zalekha Eli sebagai juruacara mengendalikan sesi ceramah.
Penceramah yang diundang, Tuan Haji Mohamad Suib bin Haji Maknun ABK, PPB, PPS adalah seorang motivator yang tersohor di daerah Kuching dan Samarahan. Beliau bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Universiti Malaysia Sarawak di Falkulti Sains Kognitif Dan Pembangunan Manusia. Beliau berpengalaman dalam bidang pendidikan lebih 40 tahun, bermula sebagai pensyarah di Institut Perguruan Malaysia. Tuan Haji Mohamad Suib mendapat ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kepujian) dari Universiti Sains Malaysia dan seterusnya memperolehi Sarjana Pembangunan Manusia dari Universiti Teknologi Malaysia.
 

Tuan Haji Mohamad Suib, Pensyarah Kanan UNIMAS
Dalam ceramah beliau, Tuan Haji Mohamad Suib menyenaraikan  beberapa objektif ceramah, antara lain mengajak peserta Ceramah Keibubapaan mengenalpasti sekurang-kurangnya tiga peranan ibubapa dalam membantu pembelajaran murid-murid dan melaksanakan peranan tersebut melalui strategi-strategi atau kaedah yang saintifik berdasarkan cadang yang beliau beri. Beliau mencadangkan agar semua ibubapa menjadikan diri mereka sebagai 'guru pertama' kepada anak-anak mereka dan sebagai 'penganalisa' tingkahlaku anak-anak. Menurut beliau, adalah sangat penting untuk ibubapa menyediakan suasana yang kondusif dan bahan-bahan pembelajaran untuk menyemarak budaya belajar semasa di rumah. Beliau mengakhiri ceramah beliau dengan meeninggalkan 2 pesanan:
  1. Didiklah anak mengikut zaaman mereka.
  2. Anak yang terdidik adalah aset yang berharga dalam mengharmonikan dunia yang kacau bilau.

Penyampaian cenderamata oleh Guru Besar kepada penceramah undangan.
Merancang sesi ceramah untuk Motivasi Murid Tahun 6.

Monday, 23 February 2015

ADUHAI CALON-CALON UPSR 2015 - MUNGKINKAH HARAPAN MENJADI KENYATAAN?

Salam.
Setelah insiden kebocoran soalan UPSR tahun lalu dan unsur-unsur soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), keputusan UPSR 2014 agak mengecewakan Gred Purata Sekolah (GPS) menurun, begitu juga peratus yang lulus cemerlang (5A) menjunam. Fenomena ini bukan isu setempat, malah melintasi sempadan negeri sehingga peringkat kebangsaan.
Kesan soalan bocor melibatkan semua pihak.


Apa tidaknya, calon-calon UPSR cukup terkedu dengan insiden kebocoran. Setelah berusaha selama sembilan bulan dengan harapan yang begitu menjulang, tiba-tiba semuanya ranap. Mereka agak kecewa dan terkulai patah semangat. Kertas ulangan diduduki sekadar melepas batuk di tangga. Cuma yang cekal dan tabah sahaja, boleh mengharungi getir-getir pahit dalam sejarah UPSR. Itupun peratusannya tidaklah seberapa.

Kehadiran soalan KBAT dalam setiap kertas UPSR secara mendadak amat mengecewakan ramai golongan pendidik. Menurut mereka, biarlah secara berhemah dengan bahasa yang cukup mudah, jangan seperti ombak air pasang- terlalu drastik dan agresif. Beri masa untuk murid-murid terutama calon-calon UPSR menyesuaikan keadaan dan janganlah terlalu "keKBATtannya" sehingga satu soalan KBAT berjela-jela sehingga mengambil ruang satu muka surat.

Soalan KBAT dalam UPSR pernah menjadi isu panas.

Mungkin ada hikmahnya, akibat dari insiden soalan bocor dan soalan KBAT yang terlalu amat "keKBATtannya". Keputusan UPSR 2014, merupakan titik permulaan yang cukup bagus untuk melakukan 'lonjakan saujana' bagi keputusan UPSR 2015.  Begitulah harapan semua pihak, lagi pun biarlah sejarah terukir semasa 'soft landing' UPSR zaman KBSR'. Tahun depan (2016), mungkin UPSR mirip PT3. Entah apa-apalah. Berilah apa-apa nama, yang terkuncil nanti siapa lagi, kalau bukan golongan pendidik dan pelajar yang sentiasa menjadi bahan experimen.



Guru dan murid-murid, SK Abang Aing tidak terkecuali. Kata sepakat telah dimuktamadkan agar keputusan UPSR 2015 menjanjikan lonjakan saujana. Usaha telah digembelengkan seawal Oktober tahun lepas. Strategi telah diperkemaskan seawal hari pertama sesi persekolahan 2015. Kali ini tidak akan ada lagi isu terlepas pandang dan seluruh warga SK Abang Aing tidak akan mengizinkan adanya Gred D dan E dalam keputusan UPSR 2015.


PdP di abad ke 21

Dengan "syrnegy" yang disumbang oleh guru-guru, ibubapa, PIBG dan komuniti, prestasi calon-calon UPSR boleh dipertingkatkan ke satu tahap yang sewajarnya. Dengan penstrukturan semula kelas 2015 melalui konsep 'mixed abiliity' dan pendekatan pdp berpegang kepada konsep 'pengajaran di abad ke 21 usaha itu akan menjadi lebih mudah

MUNGKINKAH HARAPAN BERUPAYA MENJADI KENYATAAN????








Pastinya, bila melihat grafik perangkaan di atas ada yang berkata ia satu usaha yang sangat sukar. Namun seluruh warga SK Abang Aing berpegang kepada satu kepercayaan iaitu 'semua murid boleh belajar dan berjaya'. Tidak ada yang mustahil sekiranya segala usaha disandarkan kepada 'Nawaitu Lillahita'ala'. Insya Allah.

Monday, 16 February 2015

Kem Kemahiran Cara Belajar - pencetus semangat baru bagi calon UPSR 2015

Salam.
Kemahiran Cara Belajar perlu dikuasai setiap murid untuk menambah ilmu pengetahuan serta meraih kecemerlangan dalam kehidupan dan peperiksaan. Menyedari hakikat ini, JK Kecemerlangan Akademik Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru dengan kerjasama Biro Perkhidmatan Pendidikan, Majlis Islam Sarawak (MIS) telah menganjurkan Kem Kemahiran Cara Belajar untuk 93 orang murid dan 73 orang adalah calon UPSR 2015.

Sesi Pendaftaran Kem seawal jam 7.30 pagi
Kem yang dianjurkan pada 7 Februari 2015 yang lalu dikendalikan oleh Encik Narawi Haji Udin dari BIro Pendidikan, MIS dan Encik Jais Sahok seorang penulis yang terkenal dan sekarang menjawat jawatan Jurulatih Pakar Peningkatan Sekolah, di Pejabat Pelajaran Daerah Kuching.


Berikut adalah kandungan kursus, berkaitan dengan  yang telah didedah kepada para peserta Kem Kemahiran Cara Belajar melalui ceramah dan bengkel. 
  • Motivasi Untuk Belajar
  • Gaya Pembelajaran
  • Pengurusan Masa
  • Kemahiran Membaca dan Membuat Rujukan
  • Kemahiran Menulis Laju dan Mencatat Nota
  • Kemahiran Mendengar dan Mengingat

Kem yang diadakan, adalah langkah awal ke arah merealisasi harapan semua pihak ke arah Kecemerlangan UPSR 2015, telah dibantu oleh beberapa orang guru yang berperanan sebagai 'fasilitator'. Selain berperanan sebagai fasilitator, para guru turut memastikan agar setiap peserta mengambil bahagian yang aktif dalam setiap sesi. Juga diharapkan, agar kem yang sama dapat dijalan kepada murid-murid lain yang tidak berpeluang mengikutinya kali ini. Sekaligus, Kem Kemahiran Cara Belajar juga merupakan sesi TOT (Training of Trainers) bagi guru yang terlibat.
Fasilitator dan Penyelaras Kem Kemahiran Cara Belajar sedang mengatur strategi untuk Kecemerlangan UPSR
 Tekun merangka program selanjutnya.

Visi dan misi yang cukup jelas.

Sesi percambahan fikiran.

Salah satu kumpulan dinamik dibantu oleh fasilitator.
Menurut Penyelaras Kem Kemahiran Cara Belajar, pendekatan yang digunakan oleh kedua-dua penceramah  adalah bersifat "hand-on" yang mampu membantu peserta kem memahami satu proses ke arah pembelajaran yang berkesan. Mereka didedah dan disediakan keadaan sebenar, pengalaman-pengalaman yang menghambat proses belajar menjadi sia-sia. Kesannya, peserta-peserta Kem Kemahiran Cara Belajar dapat menguasai 3 Gaya Pembelajaran dan boleh mengamalkan satu gaya yang bersesuaian dengan mereka.

Peserta-peserta begitu teruja melibatkan diri bersama rakan-rakan.
Walaupun kandungan 'silibus' Kemahiran Cara Belajar, bukan sesuatu yang baru bagi semua peserta tetapi dengan pendekatan 'hand-on' cara penyampaian yang berfokus kepada pengalaman peserta, keseluruhan sesi menjadi lebih menarik. Kesediaan hubungan 2 hala antara penceramah dan peserta agak memberangsangkan. Peserta lebih bersedia berkomunikasi dan terlibat aktif dalam setiap sesi persembahan perbengkelan.

Menerima cenderamata dari penceramah. Syabas.
Salah seorang peserta menerima ganjaran kerana keterlibatan dalam pembentangan hasil bengkel.
Dr. Haji Zuwali Kifli Merawi, Timbalan Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS

Kem Kemahiran Cara Belajar yang dijalankan sehari suntuk diakhiri dengan penyampaian Sijil Penyertaan oleh Timbalan Pengarah, Biro Perkhidmatan Pendidikan MIS Dr. Haji Zuwali Kifli Merawi dan pemyampaian Cenderahati kepada penceramah.

Encik Narawi Haji Udin, Pegawai Penyelidik BPP- MIS
Encik Jais Sahok, seorang penulis dan seorang motivator.

Peserta Kem Kemahiran Cara Belajar 
- gambar ikhsan Ami Syariff Ismawi

Thursday, 15 January 2015

Kisah Sedih Di Sebalik Bantuan Awal Persekolahan.

Salam.


Banyak cerita yang kita dengar dan baca tentang Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100. Kebanyakannya cerita gembira dan kesyukuran ibu bapa. Ramai yang mampu menghela nafas lega. Apa tidaknya, setelah berhabis duit menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak untuk sesi persekolahan yang bermula pada 12 Januari lepas. Paling tidak pun habis juga ratusan ringgit untuk pakaian sekolah, alatulis, buku rujukan dan seribu satu macam keperluan. Itu sorang, bayangkanlah kalau ada 4 atau 5 orang anak yang masih bersekolah. Lari juga bajet sebelum menunggu hari gaji pada hujung bulan.


Itu ibu bapa yang bekerja tetap dan terjamin gaji setiap hujung bulan Bagaimana pula dengan petani, nelayan, peniaga kecil-kecilan dan buruh yang habuannya bergantung kepada banyak faktor terutama cuaca dan kesempatan. Golongan ini umpama bidalan lama, "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Nak menabung? "Jauh panggang dari api." Beruntunglah sekarang kerajaan telah mengadakan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Khabarnya BR1M 2015 telah diterima oleh  penerima yang layak.

Berbalik kepada Bantuan Awal Persekolahan, kebanyakan ibu bapa tersenyum lebar menerima RM100 untuk anak masing-masing, ada yang membawa pulang sehingga RM500, apa tidaknya kalau ada 5 orang anak yang bersekolah. Di tengah-tengah keriangan ibu bapa yang menuntut wang RM100 untuk anak-anak, penulis didatangi seorang ibu muda yang bersedu-sedan dengan linangan airmata. Tersentuh juga penulis. Lalu diceritakan tentang kes linangan airmata tersebut.


Rupa-rupanya wanita muda tadi telah diceraikan suami tanpa sebarang nafkah. Apabila hendak menuntut wang RM100, rupa-rupanya wang tersebut telah diambil awal-awal oleh bekas suaminya. Menurut sumber, ibu muda tersebut merupakan suri rumah sepenuh masa yang terpaksa menyara diri dan 4 orang anaknya. Wang RM100 itulah harapan yang ada untuk membiayai persekolahan anak. Mungkin ada yang menganggap, bahawa linangan airmata tersebut sengaja diada-adakan. Namun penulis faham. Bagi setengah orang, apa sangatlah RM100, tapi bagi si ibu muda, nilainya amat besar. 


Kes-kes begini memang sering berlaku, selalunya si ibu 'tinggal' yang sering jadi mangsa. 


Monday, 5 January 2015

TAHNIAH, KEPADA 5 ORANG MURID SK ABANG AING.

Salam.
Tahniah ! Tahniah ! Tahniah !
Mohammad Ismanazreen bin Iman
Addelia Shaina ak Augustine Lubon
Siti Zahirah binti Kiprawi
Farahiyah Hani binti Johan
Wan Aiman bin Wan Azhar


Suasana meraikan kejayaan Cemerlang UPSR bersama YB Hajah Simoi bt Haji Peri
Isma, Adelia, Siti, Farah dan Wan telah berjaya diterima masuk ke Sekolah Menengah Sains Kuching Utara (SAKURA) setelah memperolehi keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang lalu. Mereka akan memulakan alam persekolahan menengah pada 13 Januari 2015. Seluruh warga SK Abang Aing mengucapkan tahniah kerana  mereka berjaya menjadi pelajar  sebuah sekolah premier di Sarawak.


Mohammad Ismanazreen ketika ditemuramah oleh kakitangan RTM

Addelia Shaina, khusyuk ketika Ceramah Kecemerlangan UPSR oleh Dr. Abang Hud
Siti Zahirah meraikan kejayaan Cemerlang UPSR bersama kedua ibu bapa.
Penolong Ketua Pengawas, Farahiyah Hani juga ditawarkan ke SBP 
Wan Aiman begitu teruja untuk memulakan alam persekolahan di SAKURA.
Jelaslah, apa yang telah diusaha selama ini telah membuahkan hasil, semoga kejayaan mereka dapat dijadikan sebagai daya penggerak dan motivasi kepada bakal-bakal calon UPSR 2015. Yang pastinya, yang bulat tidak datang tergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Semuanya berkat ketekunan dan kerja keras serta doa yang dipohon kepada Allah SWT.