Sila Klik

Wednesday, 20 May 2015

PROGRAM KECEMERLANGAN UPSR 2015 - MENGGAPAI SEJUTA HARAPAN

Salam.
Sekarang, bulan Mei telah menghampiri penghujungnya. 29 Mei, Jumaat merupakan hari terakhir sebelum Cuti Pertengahan Tahun bermula. Maknanya, murid-murid akan bercuti panjang selama 16 hari. Risau juga dibuatnya, bukan tak suka cuti tapi rasa tak yakin bila hilang kawalan terhadap anak didik. Maklum sajalah, bila murid-murid tidak berada di depan mata, macam-macam prasangka terjadi.  Entah apa yang yang mereka lakukan. Mungkinkah, 

  1. mengadap siaran televisyen 24 jam atau
  2. bermain dari pagi hingga lewat senja ataupun
  3. meredah semak dan belukar melastik burung ataupun mungkin
  4. menjejaki sungai dan tebing memancing haruan

Menyedari hakikat itulah, murid-murid perlu disediakan dengan ilmu agar cuti selama 16 hari dapat dimanfaat semaksimum mungkin, terutama calon-calon UPSR 2015. Bukan itu saja, ibu bapa perlu diberi kemahiran-kemahiran untuk membantu anak-anak mengurus masa sepanjang Cuti Pertengahan Tahun.
 
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Kecemerlangan Akademik dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) akan menganjurkan Program Kecemerlangan UPSR 2015 dengan membawa tema - Menggapai Sejuta Harapan, bermula esok 21 Mei 2015. Program itu akan berlangung di Dewan Suarah, Sri Aman selama 3 hari.


Jadual Program Kecemerlangan UPSR 2015

Hari pertama dan kedua, calon-calon UPSR 2015 akan didedahkan dengan kertas penilaian berformat UPSR, sarat dengan soalan KBAT yang kemudiannya akan dikupas dalam sesi bengkel. Seramai 4 orang fasilitator yang pakar dalam bidang masing-masing akan mengendalikan program tersebut. Mereka terdiri daripada penyemak dan pemeriksa kertas UPSR .

Sementara pada hari ketiga, 23 Mei 2015 (Sabtu), dikhas untuk ibu bapa calon-calon UPSR 2015. Tuan Haji Mohd Suib Haji Maknun, Pensyarah Kanan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menyampaikan ceramah beliau dengan tema "HARTA atau MINDA".

Tuan Haji Mohd Suib bersama penulis dalam satu Majlis Ilmu

Harapan penganjur, semua ibu bapa calon-calon UPSR 2015 akan hadir dan merebut peluang mendapat tip-tip "Bagaimana Merangsang Anak Untuk Belajar". Datang, jangan tak datang !!!

Friday, 17 April 2015

Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza - Mengenang Kembali Pengorbanan Peneraju Tahun 6 2014


Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza

  • Encik Ramlee bin Rajali
  • Encik Nixon Idal
  • Encik Mohd Jurji Abdullah
  • Puan Norihah Haji Mustapha
  • Puan Sharifah Jama'aiah Haji Wan Zain
  • Puan Dayang Faridah Haji Abang Nor
  • Puan Rohana Bustami
  • Puan Julia Mohd Hashim
  • Cik Salbiyah Haji Muhiyuddin
  • Puan Sarah Gomez
  • Puan Tan Ah Ching
  • Ustazah Noria Bujang
Kalimat di atas adalah sebuah ucapan yang bermaksud "semoga Allah SWT akan membalas kalian dengan kebaikan yang banyak dan semoga Allah SWT akan membalas kalian dengan balasan yang baik". Kalimat tersebut saya ungkapkan dan tujukan kepada guru-guru dan AKP (Anggota Kumpulan Pelaksana) sekolah khasnya peneraju-peneraju Kelas Tahun 6 yang telah bertungkus-lumus menjayakan program-program bagi merealisasikan Kecemerlangan UPSR 2014. 

Peneraju-peneraju Tahun 6 bersama pentadbir sekolah.
Umum telah mengetahui bahawa esok, 9 September 2014 bermulanya Ujian Pencapaian sekolah Rendah (UPSR). UPSR 2014 akan berlangsung selama 3 hari sehingga 11 September 2014. Baru tadi seawal pukul 7.00 pagi berlangsungnya aktiviti terakhir dalam kalendar Gerak Gempur UPSR 2014 iaitu Majlis Memohon Restu Ilmu, di Masjid Besar Sri Aman dan di Dewan Suarah.

Tazkirah sempena Majlis Memohon Restu 2014

Bacaan surah Yasin
Pujangga pernah berkata, "seseorang yang mendidik anak-anak itu lebih dihormati dari orang tuanya, bila orang tua hanya memberi nafkah hidup, pendidik memberi seni kehidupan yang baik". Saya juga percaya bahawa guru adalah seniman terhebat kerana medianya adalah jiwa dan akal manusia. Dengan kesempatan inilah maka saya mengungkapkan kalimat "Jazakumullah Khairan Katsiran Wa Jazakumullah Ahsanal Jaza" kepada nama-nama yang disenarai di atas kerana usaha gigih mereka sehinggakan seramai 107 orang calon UPSR 2014 telah berada dalam keadaan siap siaga untuk mengharungi UPSR pada esok hari.

Dengan bimbingan Encik Ramlee Rajali, Penolong Kanan Akademik segala perancangan akademik yang direncanakan sebagai persediaan menghadapi UPSR berjalan lancar. Semua ini dapat direalisasikan dengan komitmen Puan Norihah Haji Mustapha (Ketua Panitia Bahasa Melayu), Encik Nixon Idal (Ketua Panitia Bahasa Inggeris), Puan Sharifah Jama'aiah Haji Wan Zain (Ketua Panitia Matematik), Puan Dayang Faridah Haji Abang Nor (Ketua Panitia Sains) dan semua guru mata pelajaran UPSR.

6 MAJU 
6 JAYA

6 TEKUN

6 USAHA

Semoga pada esok hari, 9 September 2014 calon-calon UPSR 2014 melangkah dengan penuh keyakinan ke Dewan Peperiksaan. Amin.

Sunday, 12 April 2015

Program Rakan Sebaya - Throwback 2012

Salam.
Program Rakan Sebaya UPSR mula diperkenalkan , penghujung Julai 2011. Pada awalnya hanya melibatkan   beberapa orang murid berprestasi cemerlang (5A) yang membimbing rakan-rakan mereka dalam subjek Matematik. Hasilnya agak memberangsangkan, 7 daripada 10 orang murid-murid yang dibimbing dan diberikan tunjuk ajar mampu mendapat Gred C dalam UPSR.

Pada tahun ini Program Rakan Sebaya dimulakan dengan agak terancang pada awal Mei. Pada fasa pertama  seramai 25 orang mentor dilantik di kalangan murid-murid berpotensi mendapat gred A membimbing 50 orang rakan-rakan (mentee) mereka yang berkedudukan Gred D. Skop bimbingan melibatkan semua subjek UPSR tetapi  seorang mentor akan membimbing 2 orang mentee hanya dalam satu subjek. 



Abang Abdul Rasyid mendapat bimbingan 2 orang mentor.

Prosese mentoring jugak diselit dengan 'group study'.

Dayang Nurazierah dibantu oleh Siti Aisyah membantu Bibiana .

Selepas fasa pertama berakhir pertengahan Julai, kajian impak telah dibuat. Hasilnya, daripada 50 orang mentee yang mengikuti program tersebut 12 orang telah berada dalam kedudukan selesa untuk mendapat Gred B, 26 orang Gred C dan selebihnya masih di tahap asal terutama kertas Matematik.

An'nissa Ariqah bersama mentee 

Group Study Dayang Shafinatul Ain dan rakan-rakan.

Aleematun Farhana tekun menunjuk ajar Nazlin dalam Matematik.


Ahmad Yazid cuba menyelesaikan soalan Matematik dibantu oleh  Nur Munirah.

Fasa kedua telah dimula pada awal Ogos yang melibat 18 orang dengan kaedah yang lebih intensif iaitu 'one-to-one', seorang mentor membimbing seorang mentee setiap hari selama 20 minit.7 orang untuk Matematik, 6 orang untuk Sains, 2 orang untuk Bahasa Inggeris dan 3 orang untuk Bahasa Melayu Penulisan. Pada jangkaan JK Rakan Sebaya seramai 14 orang akan dapat Gred C sekurang-kurangnya menjelang UPSR pada September kelak. Insyallah.

Mohamad Faizab dan Nur Saidatul di bawah bimbingan Wan Nur  Ain


Sunday, 29 March 2015

Alahai Buah Markisa - seribu satu khasiat yang tersembunyi

Salam.
Maaf entri kali ini, agak berbeza daripada entri yang sebelumnya. Hanya sekadar membongkar tentang khasiat buah Markisa atau lebih dikenali sebagai passion fruit  dan nama saintifiknya passiflora edulis, sumbernya di Wikipedia - The Free Encyclopedia. Secara kebetulan, sekarang musim buah markisa masak ranum di halaman rumah.

Buah yang masak  dibiar jatuh agar cukup ranum

Buah yang hampir masak ranum

Menurut Wikipedia versi Indonesia, pokok Markisa merupakan tanaman yang menjalar untuk mendapat cahaya matahari. Banyak ditanam di kawasan tropika atau sub tropika terutama di Australia, New Zealand, India, Kenya dan Hawaii. Di Malaysia, tanaman Markisa telah diperkenalkan sekitar 1960-an dari variety kuning dan ungu. Dari segi khasiat dan rasa adalah sama, cuma variety kuning agar sukar ditanam dan saiz buah agak lebih besar dan mengeluarkan hasil yang lebih tinggi. 

Buah Markisa yang belum masak.

Tanaman Markisa yang menjalar

Pokok Markisa, mula mengeluarkan hasil dalam jangka masa 5 - 6 bulan selepas tempoh penanaman dan jangka hayatnya adalah sehingga 3 tahun. Lebih kurang 74 hari selepas pendebungaan, bunga akan menjadi buah berukuran 6 - 7 cm. Rasa buahnya masam manis, boleh dimakan segar dan dijadikan jus minuman yang menyegarkan. Sementara pulpa Markisa pula boleh dijadikan jem, agar-agar, perasa dalam yoghurt dan aiskrim. selain aromanya yang harum, jus Markisa juga kaya dengan vitamin C, niasin dan riboflavin.

Jus buah Markisa yang menyegarkan.

Dengan khasiat nutrien yang terkandung dalam jus Markisah para saintis perubatan seluruh dunia  telah melakukan banyak penyelidikan dan menerbitkan jurnal-jurnal perubatan yang berkaitan dengan khasiat buah Markisa, antaranya Food Research InternationalAmerican Chemical Society di dalam Journal of Agricultural and Food Chemistry dan penyelidikan oleh Sherma Zibadi dan Dr Ronald R Watson dari Arizona University dalam Journal of Evidence-Based Integrative Medicine yang diterbit oleh Springer Link.

Antara seribu satu khasiat buah Markisa termasuklah:
  1. Memulihkan kanser
  2. Mengatasi isomonia
  3. Mengatasi batuk 
  4. Anti alergi
  5. Menenangkan anak hiperaktif
  6. Melancarkan perjalanan darah haid
  7. Menjaga kecantikan wajah
  8. Menurunkan kalestrol
  9. Melancarkan peredaran darah
  10. Mencegah hipertensi
  11. Antiseptik
  12. Penghilang kerut pada wajah
Itulah senarai khasiat buah Markisa yang telah terbukti dari segi saintifik. Tidak hairanlah di pasaraya-pasaraya besar seperti Tesco, harga buah Markisah agak mahal sehingga RM10.00 sekilogram kerana masyarakat telah mula sedar tentang khasiat nutriennya.

Harga 5 biji buah Markisa di pasaraya Tesco.

Wednesday, 18 March 2015

Syabas Muhammad Khairi Akmal (K.E) - Man of The Day

Salam.
Hari ke 2, Program Cuti Pertengahan Penggal 1 berjalan seperti biasa. Peserta baru,  Azroy Ahmad Daud menampakkan diri pada saat-saat akhir sebelum program bermula. Kehadiran Azroy menambah lagi gelagat peserta-peserta lelaki yang jauh mengatasi peserta perempuan yang hanya 4 orang iaitu Nur Alia Shakira Jamel, Nurul Nazifa Bujang, Sharifah Syazliyana dan Nur Hairulhaniza Isahak.

4 orang peserta perempuan.
Kandungan program hari ke 2, memberi penekanan kepada Vocabulary dan dikategorikan kepada 3 peringkat: 
  1. word level
  2. phrase level dan 
  3. sentence level.


Pada mulanya sesi pembelajaran agak 'monotonous' dan hampir semua peserta terutama peserta lelaki hilang tumpuan. Menyedari situasi begini, para fasilitator dengan pantas mengubah strategi dan kaedah. Kedudukan tempat duduk dirombak semula. Peserta diberi 56 latihan memilih vocabulary (perbendaharaan kata) yang sesuai untuk setiap ayat. Ganjaran dijanjikan kepada yang mendapat bilangan betul yang paling banyak.

K.E. dinobatkan sebagai pemenang. "Man of The Day"
Akhirnya, sebelum waktu rehat Muhamad Khairi Akmal alias K.E. diumumkan sebagai peserta terbaik. Dua orang peserta, Muhammad Haziq Piee dan Nurul Nazifa Bujang sebagai pemenang saguhati. Syabas dan tahniah K.E.


Bahagian kedua program, dipenuhi dengan sesi perbicangan antara peserta dengan fasilitator tentang kesalahan-kesalahan umum dalam tatabahasa Bahasa Inggeris. Seperti hari sebelumnya, murid-murid agak teruja bila diberi peluang mempertahankan jawapan yang mereka pilih. Mereka cuba sedaya upaya memberi pendapat menggunakan Bahasa Inggeris walaupun agar sukar dan kadang-kadang diselang-seli dengan Bahasa Melayu.

Meneliti dan mencari jawapan yang betul.

Menjeling kerja kawan tapi bukan meniru.

Mendapat bimbingan dan nasihat dari fasilitator program

Akur dengan nasihat dan ajaran sifu.

Tuesday, 17 March 2015

Terima Kasih Mohamad Rizuan Othman & rakan-rakan kerana datang.

Salam.
Setibanya di sekolah jam 8.27 pagi tadi, saya begitu teruja melihat Mohamad Rizuan Othman, Nur Aideil Nazmizam, Mohammad Syafiq Alim, Mohamad Norfitrie Yunus dan beberapa orang rakan mereka telah sedia menunggu di depan Pejabat Am sekolah. Khabarnya mereka telah tiba seawal jam 7.50 pagi. Selepas itu, beberapa rakan mereka yang lain turut muncul dengai pakaian seragam sekolah yang lengkap. Tidak lagi pakaian yang comot tidak bergosok. Yang terakhir datang ialah Muhammad Khairi Akmal aka K.E.

Wajah-wajah harapan ayah bonda menunggu sesi kelas dimulakan.
Kehadiran seramai 16 orang daripada 20 orang yang dijemput agak di luar jangkaan. Pada mulanya semua beranggapan paling ramai yang akan hadir hanyalah dalam lingkungan 5 hingga 10 orang. Anggapan awal saya dan beberapa rakan guru telah meleset. Mereka adalah sebahagian daripada calon-calon UPSR 2015. Mereka dipelawa untuk datang ke sekolah agar masa luang sewaktu Cuti Pertengahan Penggal 1 lebih bermakna dan produktif. Di sekolah mereka akan dibimbing untuk mengimbas semua apa yang telah dipelajari semasa berada di Tahun 4 dan Tahun 5.

Sesi menjawab soalan Bahasa Melayu Tahun 4 dan Tahun 5
Program yang bermula dari 17 Mac hingga 20 Mac 2015, akan dikendali oleh Guru Besar dan 'difasilitate' 5 orang bekas pelajar SK Abang Aing iaitu Wan Cairel, Syazwan Haqeemi, Wan Nurain, Nur Fazlina dan Aleematun Farhana. Terima kasih kepada semua. Sepanjang program dijalankan, iaitu dari 9.00 hingga 11.00 pagi, minuman rehat akan disediakan oleh pihak sekolah. 

Fasilitator program sedang meneliti kertas soalan Bahasa Melayu
Menikmati jamuan sewaktu rehat.
Hari pertama program, peserta diberi tumpuan kepada silibus Bahasa Melayu Tahun 4 dan Tahun 5 dengan memfokus kepada penggunaan perkataan yang sesuai dan kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan dalam membentuk ayat. Di samping diuji dalam latihan bertulis, murid-murid dibimbing oleh fasilitator secara bersemuka terutama memilih jawapan yang betul dalam soalan objektif.

Bimbingan secara bersemuka
Seorang fasilitator bagi 3 orang peserta
Walaupun program dijadualkan tamat pada pukul 11.00 pagi tetapi telah dilanjutkan sehingga 11.30 pagi untuk memberi peluang kepada semua peserta mengambil bahagian dalam perbincangan. Suasana perbincangan agak hangat dengan gelagat peserta mempertahankan jawapan yang mereka pilih sehingga fasilitator terpaksa memberi rasional mengapa jawapan yang betul itu dipilih.
Perbincangan antara fasilitator dengan peserta program.
Kesimpulannya, sesi pada hari pertama berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Murid-murid mengambil bahagian secara aktif dan berani mengeluarkan pendapat mereka. Siapa sangka Mohd Rizuan Othman dan rakan-rakan boleh mengeluarkan pendapat daripada hanya mengangkat kedua bahu menunjukkan mereka tidak tahu.
Setiap orang peserta melibat diri secara aktif dalam perbincangan.
Harapan semua, agar esok, lusa dan tulat kesemua yang hadir pada hari ini akan hadir semula. Semoga hati mereka digerakkan untuk datang semula ke sekolah agar sasaran menguasai minima 5C dalam UPSR 2015 menjadi kenyataan. Insha Allah.

Tuesday, 10 March 2015

KELULUSAN SERATUS PERATUS DIIKAT MELALUI MAJLIS AKUJANJI 2015

Salam.
Majlis Akujanji 2015 yang telah diadakan pada 26 Februari 2015, di Dewan Suarah Sri Aman lebih merupakan serampang tiga mata untuk Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), calon-calon UPSR dan pihak sekolah. 
  1. Memberi semangat dan kesedaran kepada ibubapa dan murid 
  2. Menentu dan mengesahkan sasaran / target UPSR 2015 bagi SK Abang Aing
  3. Menjalin kerjasama padu antara ibubapa dan guru dalam usaha membantu meningkatkan prestasi murid. 
Adik Izzul Haziq mengetuai bacaan ikrar.
Majlis yang dianjurkan oleh JK Kecemerlangan Akademik Sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibubapa Guru menghimpun seramai 95 orang calon UPSR 2015 dengan waris masing-masing dan disaksikan oleh pihak pentadbir sekolah, tenaga pengajar kelas Tahun 6, Yand Dipertua dan ahli EXCO Persatuan Ibubapa Guru dan penceramah jemputan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Azman bin Ariffin.

Bacaan ikrar Akujanji oleh 95 orang calon UPSR 2015 yang  diketuai  adek Izzul Haziq bin Abdul Harun sebagai tanda persetujuan sasaran / target UPSR direstui oleh pihak sekolah dan ibubapa. Sebagai tanda simbolik, 'scroll' ikrar terus diserah kepada Encik Abu Kassim bin Harun, Yang Dipertua PIBG mewakili ibubapa dan seterusnya beliau menyerah 'scroll' tersebut kepada Puan Julia Mohd Hashim, Penyelaras Program Akujanji yang mewakili guru-guru Tahun 6.



Majlis Akujanji 2015 diteruskan dengan ucapan dari Guru Besar dan seterusnya merasmikan program tersebut. Dalam ucapan beliau, ditegaskan betapa pentingnya sinergi di kalangan ibubapa dan sekolah dalam usaha meningkatkan prestasi akademik anak-anak terutamanya dalam peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Seluruh kekuatan dan kemahiran yang ada perlu digemblengkan; kemantapan dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) serta komitmen menyediakan keperluan anak-anak dari segi sokongan kewangan dan semangat.


Sebagai pelengkap kepada Majlis Akujanji 2015, satu ceramah motivasi dan kesedaran turut diadakan sebagai santapan rohani para hadirin dan hadirat. Penceramah jemputan yang diundang ialah Dr Abang Hut bin Abang Engkeh, Timbalan Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Cawangan Sarawak. 


Ceramah diadakan untuk berkonsi ilmu dan kemahiran mendidik anak-anak generasi Z dalam menongkah arus teknologi dan pembangunan yang pesat membangun di samping menyediakan perisai agar generasi ini tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Penceramah menaruh harapan yang tinggi agar dengan adanya sinergi antara sekolah dan ibubapa dapat melahirkan anak-anak generasi cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Langkah pertama Dr Abang Hut menawan hati para ibubapa.

Langkah kedua menyelami apa yang terbuku di sanubari anak-anak.
Dr Abang Hut, dengan pendekatan yang tersendiri berupaya menghidupkan sesi ceramah beliau dengan agak berkesan. Beliau mampu menyelam apa yang tersirat dan tersurat di sanubari para hadirin dan menjadikan ceramah beliau begitu terkesan dan meninggalkan impak yang agak besar terhadap kesedaran untuk guru, ibubapa dan murid-murid sekaligus.


Secara spontan menyelami hati nurani audien.
Dengan kelebihan kemahiran untuk berinteraksi dengan 'audien', ceramah Dr Abang Hut meninggalkan seribu kenangan kepada calon-calon UPSR 2015 dan waris masing-masing. Pada satu-satu ketika Dewan Suarah bergema dengan ketawa dan pada ketika yang lain, suasana menjadi begitu syahdu sehingga airmata kesedaran mengalir terutama kepada ibubapa. 

Dr Abang Hut dengan pendekatan ceramah yang tersendiri.


Syabas kepada JK Pengelola Majlis Akujanji 2015 dan Persatuan Ibubapa Guru kerana telah berjaya membawa Timbalan Pengarah IAB Cawangan Sarawak untuk menyampai ceramah kepada calon-calon UPSR 2015 dan ibubapa masing-masing. Rata-rata ibubapa melahirkan rasa puas hati dengan penyampaian dan kandungan ceramah Dr Abang Hut bin Abang Engkeh. Mereka melahirkan rasa terima kasih kepada penganjur dan berharap agar majlis seperti itu diadakan dengan lebih kerap.

Senyuman menandakan harapan ayah bonda tidak akan disia-siakan.


Terkedu dengan kesedaran dari ceramah Dr Abang Hut

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Kemuncak majlis Akujanji : Calon-calon UPSR dan waris menandatangani Ikrar Akujanji.