Sekarang, bulan Mei telah menghampiri penghujungnya. 29 Mei, Jumaat merupakan hari terakhir sebelum Cuti Pertengahan Tahun bermula. Maknanya, murid-murid akan bercuti panjang selama 16 hari. Risau juga dibuatnya, bukan tak suka cuti tapi rasa tak yakin bila hilang kawalan terhadap anak didik. Maklum sajalah, bila murid-murid tidak berada di depan mata, macam-macam prasangka terjadi. Entah apa yang yang mereka lakukan. Mungkinkah,
- mengadap siaran televisyen 24 jam atau
- bermain dari pagi hingga lewat senja ataupun
- meredah semak dan belukar melastik burung ataupun mungkin
- menjejaki sungai dan tebing memancing haruan
Menyedari hakikat itulah, murid-murid perlu disediakan dengan ilmu agar cuti selama 16 hari dapat dimanfaat semaksimum mungkin, terutama calon-calon UPSR 2015. Bukan itu saja, ibu bapa perlu diberi kemahiran-kemahiran untuk membantu anak-anak mengurus masa sepanjang Cuti Pertengahan Tahun.
Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Kecemerlangan Akademik dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) akan menganjurkan Program Kecemerlangan UPSR 2015 dengan membawa tema - Menggapai Sejuta Harapan, bermula esok 21 Mei 2015. Program itu akan berlangung di Dewan Suarah, Sri Aman selama 3 hari.
![]() |
Jadual Program Kecemerlangan UPSR 2015 |
Hari pertama dan kedua, calon-calon UPSR 2015 akan didedahkan dengan kertas penilaian berformat UPSR, sarat dengan soalan KBAT yang kemudiannya akan dikupas dalam sesi bengkel. Seramai 4 orang fasilitator yang pakar dalam bidang masing-masing akan mengendalikan program tersebut. Mereka terdiri daripada penyemak dan pemeriksa kertas UPSR .
Sementara pada hari ketiga, 23 Mei 2015 (Sabtu), dikhas untuk ibu bapa calon-calon UPSR 2015. Tuan Haji Mohd Suib Haji Maknun, Pensyarah Kanan dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) akan menyampaikan ceramah beliau dengan tema "HARTA atau MINDA".
![]() |
Tuan Haji Mohd Suib bersama penulis dalam satu Majlis Ilmu |
Harapan penganjur, semua ibu bapa calon-calon UPSR 2015 akan hadir dan merebut peluang mendapat tip-tip "Bagaimana Merangsang Anak Untuk Belajar". Datang, jangan tak datang !!!