Sila Klik

Thursday, 7 February 2013

Majlis Akujanji 2013


Salam.
Saya terpanggil menulis entri kali ini, setelah melihat seribu harapan pada wajah-wajah ibubapa yang menghadirkan diri semasa  Majlis Akujanji 2013. Seramai 125 orang murid Tahun 6 bersama ibu atau bapa masing-masing telah menandatangani 'surat akujanji' disaksikan oleh guru. Majlis tersebut, bertujuan untuk memastikan calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013, bertanggungjawab melunaskan janji mereka memperolehi kejayaan cemerlang. Setiap murid dikehendaki membuat sasaran keputusan UPSR mengikut kemampuan mereka dengan syarat tidak ada yang mensasarkan untuk mendapat gred D dan gred E.

Pendaftaran ibubapa sebelum majlis dimulakan

Majlis dimulakan dengan bacaan doa memohon restu dari Allah SWT, diikuti oleh bacaan ikrar murid yang diketuai oleh Ketua Pengawas Sekolah. Dalam ucapan perasmian oleh Guru Besar, beliau berharap pemaufakatan antara ibubapa dan sekolah dapat menyemarakan dan merealsasikan harapan dan impian murid-murid. Menurut beliau, murid-murid penuh harapan dan impian, yang kurang ialah dorongan, bimbingan dan panduan untuk mencapai harapan dan impian mereka.

Guru Besar merasmikan Majlis Akujanji 2013

Majlis Akujanji kali ini adalah yang ke 5 diadakan sejak tahun 2009. Daripada rekod keputusan UPSR tidak dapat dinafikan ianya telah memberi impak yang positif. Daripada 57.25% kelulusan pada 2009 ianya telah meningkat kepada 76.92% pada 2012. Diharapan agar satu lonjakan saujana dapat dilakukan terhadap keputusan UPSR 2013. Yang Dipertua PIBG, Encik Zaidi bin Sarkawi turut hadir menyaksikan majlis tersebut.

Kehadiran Yang Dipertua PIBG
Setelah upacara menandatangani 'surat akujanji' oleh murid dan ibubapa selesai,  sesi perjumpaan dan perbincangan dengan guru mata pelajaran dimulakan. Ibubapa diberi  gambaran yang jelas tentang kekuatan dan kelemahan anak mereka dalam setiap bidang. Di samping itu juga, ibubapa berpeluang mengadakan perbincangan dengan pentadbir sekolah mengenai masalah yang dihadapi oleh anak mereka.

Ibubapa yang hadir bersama anak-anak mereka.
Mungkin ibubapa tidak berpuas hati dengan sasaran anak.
Rata-rata ibubapa yang hadir menaruh sepenuh harapan terhadap kejayaan anak-anak mereka. Mereka yakin, program pemaufakatan seperti ini boleh mengeratkan lagi hubungan strategik dengan sekolah di samping mengurangkan salah tanggapan antara kedua pihak: guru dan ibubapa. Teringat kata-kata mantan Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran, Datuk Wira Abdul Rahman Arshad. "Kalau guru sanggup menjadi ibubapa kepada murid-murid ketika di sekolah, tidak salah ibubapa menjadi guru kepada anak-anak mereka ketika di rumah."

Ikrar murid-murid.
- sumber semua foto dari Abang Rosni b  Abang Moslini

Wednesday, 6 February 2013

Sekitar Kejohanan Merentas Desa peringkat Negeri - Wordless Wednesday (WW)


Salam.
Setiap hari rabu, semua bloggers membuat satu entri bergambar tanpa meletakkan apa-apa keterangan. Terpulang kepada pengunjung untuk membuat persepsi mereka sendiri tentang apa yang dipaparkan. Gambar yang hebat boleh menerangkan segala-galanya.