Sila Klik

Thursday 15 January 2015

Kisah Sedih Di Sebalik Bantuan Awal Persekolahan.

Salam.


Banyak cerita yang kita dengar dan baca tentang Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100. Kebanyakannya cerita gembira dan kesyukuran ibu bapa. Ramai yang mampu menghela nafas lega. Apa tidaknya, setelah berhabis duit menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak untuk sesi persekolahan yang bermula pada 12 Januari lepas. Paling tidak pun habis juga ratusan ringgit untuk pakaian sekolah, alatulis, buku rujukan dan seribu satu macam keperluan. Itu sorang, bayangkanlah kalau ada 4 atau 5 orang anak yang masih bersekolah. Lari juga bajet sebelum menunggu hari gaji pada hujung bulan.


Itu ibu bapa yang bekerja tetap dan terjamin gaji setiap hujung bulan Bagaimana pula dengan petani, nelayan, peniaga kecil-kecilan dan buruh yang habuannya bergantung kepada banyak faktor terutama cuaca dan kesempatan. Golongan ini umpama bidalan lama, "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang". Nak menabung? "Jauh panggang dari api." Beruntunglah sekarang kerajaan telah mengadakan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M). Khabarnya BR1M 2015 telah diterima oleh  penerima yang layak.

Berbalik kepada Bantuan Awal Persekolahan, kebanyakan ibu bapa tersenyum lebar menerima RM100 untuk anak masing-masing, ada yang membawa pulang sehingga RM500, apa tidaknya kalau ada 5 orang anak yang bersekolah. Di tengah-tengah keriangan ibu bapa yang menuntut wang RM100 untuk anak-anak, penulis didatangi seorang ibu muda yang bersedu-sedan dengan linangan airmata. Tersentuh juga penulis. Lalu diceritakan tentang kes linangan airmata tersebut.


Rupa-rupanya wanita muda tadi telah diceraikan suami tanpa sebarang nafkah. Apabila hendak menuntut wang RM100, rupa-rupanya wang tersebut telah diambil awal-awal oleh bekas suaminya. Menurut sumber, ibu muda tersebut merupakan suri rumah sepenuh masa yang terpaksa menyara diri dan 4 orang anaknya. Wang RM100 itulah harapan yang ada untuk membiayai persekolahan anak. Mungkin ada yang menganggap, bahawa linangan airmata tersebut sengaja diada-adakan. Namun penulis faham. Bagi setengah orang, apa sangatlah RM100, tapi bagi si ibu muda, nilainya amat besar. 


Kes-kes begini memang sering berlaku, selalunya si ibu 'tinggal' yang sering jadi mangsa.