Sila Klik

Tuesday 14 July 2009

CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG

Salam.
(khusus untuk pelajar Tahun 6)
Pelajar-pelajar yang dikasihi sekalian. Sepanjang 2 bulan lalu, beberapa siri ceramah motivasi telah dijalankan dalam program Gerak Gempur UPSR. Juga diselitkan juga ilmu-ilmu menjawab soalan penilaian di samping kata-kata semangat. Untuk melengkapkan program tersebut, disajikan untuk santapan rohani bahan-bahan yang dikutip dari laman-laman web dengan tajuk: CIRI-CIRI PELAJAR CEMERLANG


OPTIMISTIK
Pelajar yang cemerlang sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan. Keyakinan ini akan memberi suntikan semangat dalaman pada diri anda sendiri. Katakan 'aku BOLEH!'

JANGAN BERSIKAP PESIMISTIKPelajar cemerlang tidak bersikap pesimistik iaitu sentiasa putus harapan dan mengalah sebelum mula berjuang. Jangan lemahkan semangat anda sendiri. Jangan meramalkan kekalahan sebelum mula berperang. Kalau anda tidak mencuba maka kekalahan sebenarnya sudah pasti dalam tangan. Belum cuba belum tahu.

KESEDARAN MEMIKUL TANGGUNGJAWABPelajar yang cemerlang mempunyai kesedaran dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat pada masa akan datang. Maruah keluarga, masyarakat dan negara pada masa akan datang bergantung pada generasi remaja masa kini. Pelajar yang cemerlang ialah pelajar yang sedar hakikat ini. Pelajar yang menyedari hakikat ini sudah pasti akan berusaha lebih gigih agar matlamat tersebut tercapai.

TUMPUAN SEPENUH HATIPelajar yang cemerlang memerikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru di kelas. Sikap main-main sambil belajar adalah sikap pelajar yang kurang berjaya. Pelajar yang suka bermain-main dalam kelas semasa guru mengajar adalah pelajar yang bakal menjadi orang yang dipermainkan oleh golongan 'terpelajar' pada suatu masa kelak. Malah lebih malang kalau suatu hari nanti mereka dipermainkan oleh golongan tidak terpelajar seperti mereka sendiri.

MULAKAN DARI AWALPelajar yang cemerlang membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan yang sebenarnya. Persediaan awal akan membezakan pelajar yang berjaya dengan yang gagal. Persediaan awal ini termasuklah mengadakan ulangkaji, berbincang dengan rakan-rakan, meminta nasihat guru, meneliti buku-buku model jawapan dan sebagainya lagi. Jangan jadi 'bidan terjun' ke dewan peperiksaan.

SENTIASA BERSEDIAPelajar yang cemerlang sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi sebarang bentuk ujian atau peperiksaan yang bakal diadakan oleh pihak sekolah (ujian bulanan, peperiksaan penggal) atau oleh pihak kementerian (peperiksaan yang sebenarnya). Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang sanggup dan mampu menghadapi peperiksaan bila-bila masa sahaja. Bersediakah anda andainya peperiksaan diadakan esok? Pelajar cemerlang akan berkata 'Ya!' Kalau anda peminat 'The Rock' anda akan berkata 'Just bring it on..!'

LENGKAPKAN PERALATANPelajar yang cemerlang menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas, dan sebagainya lagi. Semangat sahaja tidak mencukupi untuk mencapai kejayaan. Kelengkapan yang tidak cukup akan menyusahkan pembelajaran dan mungkin memanaskan hati anda atau melemahkan semangat untuk terus belajar. Cuba bayangkan, anda ingin basuh tangan selepas makan tetapi tiada air. Tidakkah anda rasa 'bengang'?

TEPATI WAKTU BELAJARPelajar yang cemerlang menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

DAPATKAN BANTUAN GURUPelajar yang cemerlang mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.

BERI PANDANGAN MEMBINAPelajar yang cemerlang sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

BERBINCANG DENGAN RAKANPelajar yang cemerlang sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan studi. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.

TUBUHKAN KUMPULAN STUDYPelajar yang cemerlang mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kejayaan dalam peperiksaan. Tapi jangan tubuhkan kumpulan studi yang akhirnya menjadi kumpulan bersembang! Carilah rakan-rakan yang ragin dan gigih. Tinggalkan rakan-rakan yang hanya suka temberang.

LAKUKAN PEPERIKSAAN KENDIRIPelajar yang cemerlang mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar. Melakukan peperiksaan kendiri samalah seperti masuk ke klinik. Anda akan diberi tahu tentang 'penyakit' anda (kelemahan-kelemahan anda). Selepas itu, pandai-pandailah cari ubatnya.

SEDIAKAN JADUAL WAKTUPelajar yang cemerlang menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru atau abang-abang yang berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.

SERTAI CERAMAH MOTIVASIPelajar yang cemerlang mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.

MAKANAN SEIMBANGPelajar yang cemerlang menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.

MALU BERTANYA SESAT JALANPelajar yang cemerlang tidak segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.

SEMBAHYANGPelajar yang cemerlang menjaga sembahyangnya. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama.

DOAPelajar yang cemerlang sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.

TAWAKKALPelajar yang cemerlang berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.

Sunday 7 June 2009

UPSR semakin dekat.........

Salam.
Kurang dari 100 hari pelajar-pelajar Tahun 6 akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), atau lebih tepat lagi 93 hari lagi dari sekarang. Berbagai usaha telah dibuat dan akan dibuat. Esok (08.06.2009) sehingga hari Khamis (11.06.2009) merupakan siri ke 2 Kelas Pengukuhan UPSR semasa cuti. Harap-haraplah kehadiran pelajar-pelajar yang terlibat agak positif seperti juga kehadiran mereka dan ibubapa masing-masing semasa Program Kecemerlangan UPSR pada 23 Mei 2009 di Dewan Suarah Sri Aman. Sehubungan dengan itu, seramai 19 0rang akan menghadiri Klinik UPSR 2009 anjuran Unit Pendididikan Berita Harian Sdn Bhd pada 20 hingga 21 Jun 2009 bertempat di Dewan Auditorium DBKU, Kuching. Harapan awal seramai yang mungkin akan menghadiri klinik tersebut, mungkin faktor pengangkutan dan penginapan menjadi masalah. Semoga hasrat menghantar beberapa orang guru yang bertindak sebagai fasilitator mendapat restu dari pihak urusetia penganjur. Sekiranya usaha ini berjaya, dapatlah juga pelajar-pelajar lain yang tidak berpeluang menghadiri klinik tersebut merasa tempiasnya. Insyallah.

Dalam keghairahan mengatur strategi untuk mengangkat martabat SK Abang Aing ke tempat yang sewajarnya terdengar suara-suara sumbang dan negatif. Kononnya, sekarang pelajar-pelajar SK Abang Aing bersekolah sepanjang tahun - tidak ada cuti. Pelajar tidak kesempatan untuk bermain, masa menonton televisyen semakin terhad dan keletihan dibebani kerja sekolah. Ujian atau penilaian semakin bertambah. Aduhai, banyaknya rungutan, tapi itu tidak membantut usaha yang sedang dan akan dilaksanakan. "Untuk mendapat kejayaan yang luar biasa, memerlukan usaha yang luar biasa", sekadar mengimbas kembali ucapan semasa Majlis Menandatangani Surat Akujanji Pelajar Tahun 6 pada 12 Mac 2009 dulu.

W'salam

Saturday 16 May 2009

SELAMAT HARI GURU

GURU OH GURU
USMAN AWANG


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Tuesday 31 March 2009

Salam.

Lama juga rasanya tidak mencoret dalam blog ini. Samada terlalu sibuk atau ketandusan idea. Mungkin kedua-duanya sekali. Kerana terlalu sibuk dengan rutin harian, idea pun menjadi tandus. Minggu ini dan minggu-minggu yang akan mendatang menjanjikan kesibukan yang terlalu sibuk. Bermula dengan Mesyuarat J/K Kurikulum, kemudian Percambahan Idea tentang Pameran Hari Guru dan Sukaneka Bank Rakyat. Diikuti pula dengan taklimat e-Tukar, Perayaan Bulan Dakwah dan Mesyuarat J/K Kewangan dan Akaun, pada masa yang sama Mesyuarat Agung Tahunan Bank Kerjasama Rakyat (mewakil Koperasi Abang Aing Berhad) di PWTC. - sesekali best jugak dapat flight free.

Minggu depan bertambah sibuk. Pertandingan Bolasepak 12 TKB, Pertandingan Kawat Kaki, Koir dan beberapa siri mesyuarat. Terjejas juga aktiviti-akitivi akademik yang telah dirancang. Kadang-kadang terfikir jugak, perlukah aktiviti-aktiviti yang "ko" begitu banyak? Bukan apa, bimbang takut sasaran tak tercapai. Yang dikendong keciciran, yang dikejar tak dapat. Bila fikir lagi, elok juga bagi menyediakan perkembangan yang holistik bagi pelajar-pelajar.

Walau bagaimanapun tahniah kepada Cikgu Dayang Aishah, Cikgu Mohd Jurji Abdullah, Cikgu Irene Sintan, Ustaz Mokhtar (telah bertukar ke Semananjung) dan Abang Mohd Preudrus kerana telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008.

Wsalam.

Friday 27 March 2009

Salam.
Pagi tadi berlangsung satu detik yang bersejarah dalam bidang pendidikan di Sri Aman - Majlis Menandatangani Kontrak Pendidikan. Kontrak ditandatangani oleh YDP Majlis Guru Besar (MGB) bagi pihak sekolah rendah dan Pengerusi Pemufakatan Antara Sekolah (MAS) bagi sekolah menengah dengan Pegawai Pelajaran Daerah, disaksikan oleh Ahli Parlimen Sri Aman dan wakil-wakil YB setempat. Satu majlis yang signifikan bagi lonjakan saujana ke arah meningkatkan prestasi akademik terutama dalam UPSR dan PMR di Sri Aman.

Syabas dan tahniah kepada pihak yang mencetus idea tentang perkara ini. Harapan kita agar kontrak yang sedia ada direalisasi dengan langkah-langkah susulan. Tidak wajar, kontrak yang sudah ditandatangani dan dihiasi dengan tinta dan bingkai emas dibiarkan terpampang begitu saja.

Di SK Abang Aing, kontrak sebegini rupa telah kita mulakan pada 12 Mac dulu - Majlis Menandatangani Surat Akujanji Pelajar Tahun 6. Ditandatangani oleh pelajar, ibubapa dan guru bersaksikan pihak pentadbir sekolah dan PIBG. Susulan dari majlis itu nanti, dalam sedikit masa akujanji akan ditandatangi antara guru dan pentadbir sekolah. Matlamat dan falsafahnya sama, satu ikatan perjanjian antara dua pihak dalam usaha mempertabatkan mutu pendidikan.

Terima kasih.

Sunday 22 March 2009

KEMBALI KE SEKOLAH

Salam
Harap-haraplah semua sudah bersedia untuk ke sekolah semula keesokkan harinya. Para pelajar akan tersenyum girang dan para guru tak sabar-sabar menghadapi kerenah mereka.

Harap-haraplah juga, sesi persekolahan kali ini dimulakan dengan azam dan tekad yang lebih kuat setelah sekian lamanya tidak menjenguk sekolah. Apalah agaknya, perubahan yang telah berlaku dan akan berlaku.

Pelajar akan berharap sesi pengajaran dan pembelajaran akan menjadi lebih seronok dan tidak membebankan. Guru pula mengharap agar berkurangan kenakalan dan kedegilan pelajar. Maka tiada lagi bebelan yang memekak telinga.

Tuesday 17 March 2009

Saya terpanggil memulakan blog ini, setelah melihat seribu harapan pada airmuka pelajar-pelajar Tahun 6, semasa Sesi Ceramah Motivasi pada hari ini. Sebenarnya mereka semua ada cita-cita, matlamat dan impian. Yang kurang pada mereka ialah dorongan, bimbingan dan panduan bagaimana untuk mencapai impian tersebut. Maka mahu tidak mahu, kita sebagai orang dewasa, guru dan ibubapa perlu menyemarakkan impian mereka dengan motivasi. Saya masih teringat, kata-kata mantan Pegawai Pelajaran bahagian Sri Aman, Dr. Zulwali Kifli Merawi "motivasi bak makanan, perlu disemarakkan setiap hari kepada pelajar-pelajar, walaupun hanya untuk beberapa minit".

Hampir seminggu berlalu, selepas Majlis Menandatangani Surat Akujanji Pelajar Tahun 6, SK Abang Aing. Hari itu jugalah ramai pelajar Tingkatan 5 yang melonjak kegirangan dan tak kurang pula yang menundukan muka kemurungan setelah keputusan SPM diumumkan. Pada hari tersebut juga, seluruh rakyat Malaysia terharu dengan kejayaan seorang pelajar miskin Nik Nur Madihah yang mendapat keputusan 20 A. Diharap kejayaan adik Nik Nur Madihah boleh memotivasikan pelajar-pelajar yang telah mempunyai impian dan harapan dalam UPSR 2009. Insyallah.