Sila Klik

Wednesday, 13 August 2014

Tahniah Penerima APC 2014.

Salam.
Esok, Jumaat 27 Jun 2014 akan berlangsung penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) untuk guru dan kakitangan sekolah daerah Sri Aman di Hotel Seri Simanggang, Bandar Sri Aman. Lebih kurang 8 peratus guru dan kakitangan sesebuah  sekolah dipilih sebagai penerima APC setelah melalui tapisan laporan penilaian prestasi tahunan dan perakuan ketua jabatan. Cakap-cakap tentang APC bukan perkara baru justeru memang semua penilaian dan pengukuran terdedah kepada isu-isu kesahan, kebolehpercayaan dan ralat.


Tumpang sekaki
Sebagus manapun reka bentuk sesuatu instrumen penilaian dan pengukuran, unsur persepsi tentang ketepatannya tidak dapat dihapuskan. Pemilihan penerima APC yang sepatutnya membawa kebaikan kepada organisasi atas prinsip menang-menang boleh bertukar kepada beban tekanan kepada kelompok tertentu. Maka, pihak panel penilaian dan pengukuran APC selalu digesa lebih telus dalam memberi justifikasi tentang kriteria pemilihan dan mempamerkan hikmah dalam menghadapi kritikan senyap.

Hakikatnya, kesempurnaan dan sumbangan maksimum kepada organisasi bukanlah tiket automatik atau jaminan pasti untuk terpilih dalam sesuatu penganugerahan kerana khidmat yang diberikan. Saidina Abu Bakr as-Siddiq dalam ucapan pemasyhuran beliau sebagai khalifah ar-Rasyidin yang pertama menyebut bahawa beliau bukanlah orang terbaik yang layak diangkat sebagai pemimpin, tetapi menerima jawatan berkenaan atas dasar keputusan syura. Hendaknya sekalian penerima APC juga mengambil sikap yang serupa agar rasa hormat terhadap keputusan organisasi dan semangat setia kawan sentiasa menjadi keutamaan.

Sehubungan dengan majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), seramai 7 orang warga SK Abang Aing telah dipilih oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia peringkat sekolah. Syabas dan tahniah kepada:
  1. Ustaz Azman bin Ariffin
  2. Puan Dayang Faridah binti Abang Nor
  3. Puan Salmah binti Sahari
  4. Puan Sharifah Jama'aiah binti Wan Zain
  5. Puan Tan Ah Ching
  6. Puan Suzan Wee
  7. Puan Saftuyah binti Wasli
Penganugerahan ini merupakan penghargaan dan  pengiktirafan Kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam yang telah mempamerkan perkhidmatan yang cemerlang dan kualiti kerja sepanjang tahun yang mempunyai kelebihan tertentu berbanding dengan pegawai lain.
Matlamat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang adalah untuk menginstitusikan budaya kerja yang cemerlang di kalangan penjawat awam di mana setiap mutu dan penghasilannya melebihi daripada keperluan dan  tanggungjawab biasa bagi jawatannya. Di samping itu, perkhidmatan yang diberikan itu boleh menjadi contoh dan ikutan serta boleh diteladani ke arah memajukan perkhidmatan awam. 


Tuesday, 12 August 2014

GRED PURATA SEKOLAH (GPS) atau PERATUS KELULUSAN

Salam.
Masa berbaki sebelum menjelang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tinggal lagi 27 hari a.k.a 18 hari persekolahan. Maknanya, calon-calon UPSR hanya berpeluang mengadap dan bertelaah dengan guru-guru mereka untuk 18 hari lagi, yang selebihnya adalah hari-hari mengulangkaji tanpa guru. Betapa singkatnya masa, kalau selama ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Demi Masa!. Sesunguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. - Surah Al-'Asr

Setelah mengharungi 8 penilaian, calon-calon UPSR telah menunjukkan prestasi yang bagus, walaupun masih ada calon menunjukkan peningkatan yang tidak tekal (consistent) - ada ketikanya meningkat dan ada waktunya menurun. Ini terbukti apabila keputusan penilaian digambarkan melalui peratusan lulus semua kertas. 


Manakala, dari segi bilangan calon yang telah memperbaiki gred mereka atau GPI (Gred Purata Individu), agak memberangsangkan. Maknanya semakin ramai yang telah memperolegi Gred A, B atau C dalam setiap kertas penilaian atau semakin kurang yang memperolehi Gred D atau E. 


Antara harapan dan impian.
Keyakinan menjadikan impian menjadi kenyataan.
Dalam hal ini, impian dan harapan dua perkataan yang ideal bagi semua calon UPSR, masing-masing mempunyai impian untuk lulus cemerlang. Masing-masing juga meletakkan harapan agar impian menjadi kenyataan. Merealisasi hasrat tersebut, pepatah sering mengingatkan jangan seperti angan-angan Mat Jenin, berusahalah dan sentiasa berpijak di bumi nyata.