Sila Klik

Thursday 18 July 2013

Majlis Penyerahan Cek Geran Peruntukan Pembangunan

Salam.
Tanggal 18 Julai 2013 ketika umat Islam menjalani ibadah puasa untuk hari yang ke 9, warga SK Abang Aing telah dikunjungi oleh rombongan YB Hajjah Simoi binti Haji Peri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.23 Lingga. Kunjungi beliau ke sekolah kerana menetapi apa yang telah beliau janjikan pada 12 Oktober 2012 semasa merasmikan Majlis Penangguhan Sukan Tahun Sekolah 2012 - baca di sini

Ketibaan YB Hajjah Simoi disambut oleh EXCO Persatuan Ibubapa Guru.
Kunjungan YB Hajjah Simoi binti Haji Peri dan rombongan ke SK Abang Aing bertujuan untuk menyerahkan cek geran peruntukan pembangunan bernilai RM30,000 dan menyampaikan cenderamata berupa buah kurma kepada semua guru serta kakitangan sekolah, di samping mengeratkan lagi hubungan silatulrahim dengan pihak sekolah. Lebih-lebih lagi beliau merupakan bekas pelajar SK Abang Aing dan pernah berkhidmat sebagai guru sandaran di sekolah ini. 

YB menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga sekolah.
Dalam ucapan penghargaan dan terimakasih kepada guru dan kakitangan sekolah, beliau berharap komitmen dan kesungguhan  yang telah ditunjukkan dapat dikekalkan demi melahirkan modal insan untuk pembangunan negara. Beliau turut terharu dengan kejayaan yang telah dicapai oleh pihak sekolah samada dalam bidang akademik dan kokurikulum. YB Hajjah Simoi juga berjanji akan sentiasa membantu sekolah dan PIBG dalam menyemarakkan lagi dunia pendidikan dalam kawasan DUN yang beliau wakili.

Penyerahan cek bantuan geran yang bernilai RM30,000.00
Cek bantuan geran pembangunan yang bernilai RM30,000.00 telah disampaikan oleh beliau kepada Encik Zaidi bin Sharkawi, Yang Dipertua PIBG yang mewakili pihak sekolah dan PIBG. Sehubungan dengan itu, YB Hajjah Simoi berharap peruntukan tersebut digunakan secepat mungkin untuk pembinaan Lorong Pejalan Kaki Berbumbung demi kepentingan anak didik yang belajar di SK Abang Aing.

Penyerahan buah kurma secara simbolik kepada Guru Besar.
Sempena dengan lawatan beliau ke sekolah, YB Hajjah Simoi mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan peribadi beliau berupa buah kurma kepada semua staf dan hadirin yang datang. Penyerahan telah dilakukan secara simbolik oleh beliau kepada Guru Besar. Lebih 100 paket buah kurma telah diserahkan oleh YB Hajjah Simoi yang seterusnya akan diagihkan oleh pihak sekolah.

Cenderamata dari pihak sekolah untuk tetamu kehormat.
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa

Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa

Begitulah budaya dan bahasa yang telah kita warisi sejak turun termurun dulu. Walau sepesat manapun kemajuan yang kita capai, warisan itu tetap kita pelihara dan kita jaga. Sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih, Guru Besar mewakilkan seluruh warga SK Abang Aing menyampaikan cenderamata kepada YB Hajjah Simoi binti Haji Peri.

Terima kasih Yang Berhormat.
- semua gambar disumbangkan oleh saudara Abang Rosni

No comments: