Sila Klik

Thursday 20 September 2012

Bersedialah warga sekolah dan ibubapa.

Datuk Seri Najib bersama Tan Sri Muhyiddin Yasin melihat buku Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 

"Berani, telus dan demokratik", begitulah ulasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang mengariskan 11 anjakan utama bagi mengubah sistem pendidikan negara. Beliau menggesa setiap sasaran pelan dapat memberi kesan kepada semua jenis sekolah samada Sekolah Kebangsaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, Sekolah Agama, Sekolah Mubaligh, Sekolah Swasta dan Sekolah Antarabangsa yang berada dalam sistem pendidikan negara.

Jadi apakah impak-impak yang akan berlaku daripada 11 anjakan utama seperti yang telah dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 September 2012 yang lalu. Impak yang paling besar ialah kepada sistem pendidikan itu sendiri dan semestinyalah guru dan murid-murid yang merupakan pemain utama industri pendidikan akan menerima tempias. Jadi para peneraju sekolah (pengetua atau guru besar), guru-guru, murid-murid dan ibubapa bersedialah. Sedikit kita alpa, kita akan dipinggirkan oleh arus pendidikan perdana. 

Antara isu yang harus diambil perhatian warga sekolah dan ibubapa adalah:
  • Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) akan dilancarkan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) akan disemak semula pada tahun 2017.
  • Kementerian akan mempertimbangkan penggunaan jadual anjal oleh sekolah.
  • Kemungkinan laluan pembelajaran pintas akan dilaksanakan - membenarkan murid berprestasi tinggi menamatkan pengajian sekolah rendah selama 5 tahun dan pengajian sekolah menengah selama 4 tahun.
  • Pada tahun 2016, Penilaian UPSR akan mengandungi 80% soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.
  • Semua 70,000 guru Bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT)
  • Modul Sastera Inggeris akan diwajibkan kepada semua murid sekolah menengah.
  • Kurikulum Bahasa Melayu yang standard akan diperkenalkan di semua sekolah rendah.
  • Kelas Peralihan akan dimansuhkan pada 2017.
  • Murid-murid digalakkan mempelajari bahasa tambahan sepeti bahasa Cina, Tamil, Arab serta bahasa ibunda dan bahasa antarabangsa yang lain.
  • Kementerian Pelajaran akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
  • Kemasukan ke latihan perguruan akan diperketatkan dengan mensasarkan 30% teratas dari kelompok pelajar cemerlang menyertai profession keguruan.
  • Guru berprestasi tinggi akan mendapat laluan istimewa kenaikan pangkat dalam tempoh yang singkat.
  • Pengetua dan guru besar cemerlang akan ditempatkan di sekolah-sekolah luar bandar.
  • Semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah.
  • Capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) akan diperluaskan.
  • Menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang 2025.
Landasan telah disediakan. Tepuk dada tanya selera.

No comments: