Sila Klik

Friday 19 October 2012

Perkhemahan Unit Beruniform 2012 - Bahagian 1



Aktiviti perkhemahan merupakan aktiviti utama kegiatan kokurikulum di sekolah. Melalui aktiviti ini, asas-asas pembangunan kemanusiaan dipupuk secara hand on di kalangan peserta perkhemahan. Sifat-sifat mulia seperti bertoleransi, tolong menolong, berdisiplin disemai semasa proses penyuburan emosi peserta. Di samping itu, aktiviti perkhemahan juga mendedahkan peserta terutama pelajar-pelajar kepada cabaran fizikal dan mental. Cabaran ini akan memantapkan semangat juang dalam diri mereka serta memperkukuhkan keyakinan diri.


Perkhemahan yang diadakan sebenarnya telah dirancang dengan agak teliti, secara sistematik dan bersepadu dengan harapan natijah dari perkhemahan tersebut peserta dapat mengembangkan kemahiran kognitif, afektif dan psikomotor masing-masing. Dengan kata lain, segenap aspek telah dikaji terutamanya soal keselamatan peserta. Bukan itu saja, aktiviti-aktiviti yang bakal dijalankan adalah bersesuaian dan tidak bertentangan dengan amalan dan kepercayaan peserta yang terlibat. Dengan erti kata lain, memenuhi kehendak syariat Islam. 


Adalah tidak wajar mentohmahkan yang Perkhemahan Unit Beruniform, tidak memberi sebarang faedah kepada pelajar-pelajar. Malah anggapan setengah pihak menganggap aktiviti ini bertentangan dengan syiar Islam adalah meleset. Kalau dihalusi, berpandukan kepada aturcara aktiviti, solat fardhu tidak diabaikan malah setiap kali selepas solat fardhu diikuti tazkirah ringkas. Lupakan saja tentang unggun api yang satu ketika dulu (mungkin 20 tahun yang lalu) menjadi isu, tidak lagi dipraktikkan sekarang.


Bicara awal ini, cuma mahu perjelaskan pandangan yang salah tentang aktiviti  Perkhemahan Unit Beruniform. Kita lihat dan nilai saja nanti. Sama-samalah memberi pandangan dan kritikan yang membina apabila ianya dilaksanakan nanti dari 21 hingga 23 Oktober nanti. Seramai 95 orang ahli-ahli dari Persatuan Bulan Sabit Merah, Persekutuan Pengakap Malaysia, Tunas kadet Remaja Sekolah, Pergerakan Puteri Islam Malaysia dan Persatuan Silat Sekolah.

Selamat berkhemah.

No comments: