Lebuh India yang telah berubah wajah. |
Rasanya sudah sekian lama tidak menjenguk Bandaraya Kuching, tiba-tiba timbul keinginan mengunjungi Lebuh India atau lebih dikenali sebagai India Street. Agak payah juga untuk mencari tempat meletak kenderaan, terutama pada hujung minggu. Selepas dua tiga kali pusing keliling bangunan Electra, melalui Jalan Gambir akhirnya dapat petak yang agak baik bertentangan dengan Main Bazaar. Masa dulu, kawasan letak kereta ini adalah Pasar Ikan, bersebelahan Pasar Babi yang berhampiran Pasar Manok, maaf menggunakan bahasa Melayu tempatan sengaja nak mengimbas kembali nostalgia ketika bersekolah di Sekolah Menengah Kerajaan Tun Abang Haji Openg tahun-tahun 70 an dulu.
Semasa berjalan kaki melalui Leboh India, entah macam mana tiba-tiba sahaja timbul keinginan untuk menjenguk kedai buku yang sebelum ini memang selalu dikunjungi bila berkehendakkan buku berunsur agama. Set-up dalam kedai masih tidak berubah, di sebelah menyebelah terdapat rak-rak yang menyimpan buku agama dan kitab manakala dihujung bahagian belakang tersusun rapi kotak-kotak songkok dan susunan kopiah. Dalam keghairahan membelek buku dan majalah, tiba-tiba terpandang sebuah buku yang hiasan grafik pada kulitnya agak menarik. Lagi menarik, nama salah seorang dari 3 penulis berbangsa Cina. Tanpa sebarang pertimbangan, buku Solat Kebaikan Dari Perspektif Sains pun bertukar tangan.
Buku terbitan Universiti Malaya, adalah hasil kajian Prof Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Prof Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok dari Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Hasil kajian saintifik tersebut mendapati setiap gerakan solat mempunyai rahsia tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan.
Menurut Professor Dr. Wan Abu Bakar yang mengkaji aktiviti otot, manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman untuk membolehkan otot menjadi kuat apabila digunakan. Beliau menambah, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan pergerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan. Malah katanya, solat menyamai terapi fizikal, jika dilakukan secara berterusan dan betul akan menghasilkan kesan positif
Lagi menarik apabila Professor Dr. Fatimah Ibrahim menghurai dalam kajian beliau bahawa komposisi tubuh mengandungi 4 komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponnen air dan lemak. Untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan 5 perkara, iaitu:
- solat 5 kali sehari
- memahami maksud bacaan dalam solat
- solat berjemaah
- rukuk dengan betul (90 darjah)
- melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahayat akhir
Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Penyakit yang selalu dihidapi bagi yang seusia dengan saya. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat. Beliau menambah, keputusan positif ini adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.
Melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud. |
Ng Siew Chok pula menyatakan bahawa perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik. Ianya boleh diukur menggunakan satu alat elektrod (EEG - Electroencephalagraphy) yang diletakkan pada kulit kepala. Gelombang otak mempunyai beberapa frequensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Beliau kagum terhadap hasil kajian apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat adalah tenang seperti orang baru bangun dari tidur.
"Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah, "katanya.
Itulah kupasan yang agak ringkas mengenai satu penemuan yang sangat menarik. Tak cukup? Memang tak cukup, untuk lebih jelas dan terperinci, buku ini mesti dibeli. Cuma RM29.90. Saya percaya, fakta-fakta yang dibentangkan dalam buku ini akan memotivasikan kita untuk melakukan ibadat solat dengan lebih tekun dan teratur demi mencapai kebaikan spiritual, fizikal dan mental. Tak sia-sialah, sebahagian hujung minggu saya dihabiskan dengan mencari tempat parking di sepanjang Main Bazaar melalui Jalan Gambir dan hampir terlanggar apek berbasikal berdekatan dengan Old Court House, dekat Pangkalan Sapi.
Selamat bersolat.
4 comments:
Solat memelihara jiwa dan fizikal yang sempurna. Bertuah kita semua yang menjaga solat..
Insyallah Raudzah. Umat yang menjaga kesempurnaan solat akan diberi ganjaran syurga.
Betul tu Raudzah dan Mama Zahra.
Post a Comment