Sila Klik

Tuesday, 10 March 2015

KELULUSAN SERATUS PERATUS DIIKAT MELALUI MAJLIS AKUJANJI 2015

Salam.
Majlis Akujanji 2015 yang telah diadakan pada 26 Februari 2015, di Dewan Suarah Sri Aman lebih merupakan serampang tiga mata untuk Persatuan Ibubapa Guru (PIBG), calon-calon UPSR dan pihak sekolah. 
  1. Memberi semangat dan kesedaran kepada ibubapa dan murid 
  2. Menentu dan mengesahkan sasaran / target UPSR 2015 bagi SK Abang Aing
  3. Menjalin kerjasama padu antara ibubapa dan guru dalam usaha membantu meningkatkan prestasi murid. 
Adik Izzul Haziq mengetuai bacaan ikrar.
Majlis yang dianjurkan oleh JK Kecemerlangan Akademik Sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibubapa Guru menghimpun seramai 95 orang calon UPSR 2015 dengan waris masing-masing dan disaksikan oleh pihak pentadbir sekolah, tenaga pengajar kelas Tahun 6, Yand Dipertua dan ahli EXCO Persatuan Ibubapa Guru dan penceramah jemputan. Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Mohd Azman bin Ariffin.

Bacaan ikrar Akujanji oleh 95 orang calon UPSR 2015 yang  diketuai  adek Izzul Haziq bin Abdul Harun sebagai tanda persetujuan sasaran / target UPSR direstui oleh pihak sekolah dan ibubapa. Sebagai tanda simbolik, 'scroll' ikrar terus diserah kepada Encik Abu Kassim bin Harun, Yang Dipertua PIBG mewakili ibubapa dan seterusnya beliau menyerah 'scroll' tersebut kepada Puan Julia Mohd Hashim, Penyelaras Program Akujanji yang mewakili guru-guru Tahun 6.



Majlis Akujanji 2015 diteruskan dengan ucapan dari Guru Besar dan seterusnya merasmikan program tersebut. Dalam ucapan beliau, ditegaskan betapa pentingnya sinergi di kalangan ibubapa dan sekolah dalam usaha meningkatkan prestasi akademik anak-anak terutamanya dalam peperiksaan awam seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Seluruh kekuatan dan kemahiran yang ada perlu digemblengkan; kemantapan dalam proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) serta komitmen menyediakan keperluan anak-anak dari segi sokongan kewangan dan semangat.


Sebagai pelengkap kepada Majlis Akujanji 2015, satu ceramah motivasi dan kesedaran turut diadakan sebagai santapan rohani para hadirin dan hadirat. Penceramah jemputan yang diundang ialah Dr Abang Hut bin Abang Engkeh, Timbalan Pengarah Institut Aminuddin Baki (IAB), Cawangan Sarawak. 


Ceramah diadakan untuk berkonsi ilmu dan kemahiran mendidik anak-anak generasi Z dalam menongkah arus teknologi dan pembangunan yang pesat membangun di samping menyediakan perisai agar generasi ini tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Penceramah menaruh harapan yang tinggi agar dengan adanya sinergi antara sekolah dan ibubapa dapat melahirkan anak-anak generasi cemerlang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Langkah pertama Dr Abang Hut menawan hati para ibubapa.

Langkah kedua menyelami apa yang terbuku di sanubari anak-anak.
Dr Abang Hut, dengan pendekatan yang tersendiri berupaya menghidupkan sesi ceramah beliau dengan agak berkesan. Beliau mampu menyelam apa yang tersirat dan tersurat di sanubari para hadirin dan menjadikan ceramah beliau begitu terkesan dan meninggalkan impak yang agak besar terhadap kesedaran untuk guru, ibubapa dan murid-murid sekaligus.


Secara spontan menyelami hati nurani audien.
Dengan kelebihan kemahiran untuk berinteraksi dengan 'audien', ceramah Dr Abang Hut meninggalkan seribu kenangan kepada calon-calon UPSR 2015 dan waris masing-masing. Pada satu-satu ketika Dewan Suarah bergema dengan ketawa dan pada ketika yang lain, suasana menjadi begitu syahdu sehingga airmata kesedaran mengalir terutama kepada ibubapa. 

Dr Abang Hut dengan pendekatan ceramah yang tersendiri.


Syabas kepada JK Pengelola Majlis Akujanji 2015 dan Persatuan Ibubapa Guru kerana telah berjaya membawa Timbalan Pengarah IAB Cawangan Sarawak untuk menyampai ceramah kepada calon-calon UPSR 2015 dan ibubapa masing-masing. Rata-rata ibubapa melahirkan rasa puas hati dengan penyampaian dan kandungan ceramah Dr Abang Hut bin Abang Engkeh. Mereka melahirkan rasa terima kasih kepada penganjur dan berharap agar majlis seperti itu diadakan dengan lebih kerap.

Senyuman menandakan harapan ayah bonda tidak akan disia-siakan.


Terkedu dengan kesedaran dari ceramah Dr Abang Hut

Orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.

Kemuncak majlis Akujanji : Calon-calon UPSR dan waris menandatangani Ikrar Akujanji.





No comments: