Sila Klik

Tuesday 17 March 2015

Terima Kasih Mohamad Rizuan Othman & rakan-rakan kerana datang.

Salam.
Setibanya di sekolah jam 8.27 pagi tadi, saya begitu teruja melihat Mohamad Rizuan Othman, Nur Aideil Nazmizam, Mohammad Syafiq Alim, Mohamad Norfitrie Yunus dan beberapa orang rakan mereka telah sedia menunggu di depan Pejabat Am sekolah. Khabarnya mereka telah tiba seawal jam 7.50 pagi. Selepas itu, beberapa rakan mereka yang lain turut muncul dengai pakaian seragam sekolah yang lengkap. Tidak lagi pakaian yang comot tidak bergosok. Yang terakhir datang ialah Muhammad Khairi Akmal aka K.E.

Wajah-wajah harapan ayah bonda menunggu sesi kelas dimulakan.
Kehadiran seramai 16 orang daripada 20 orang yang dijemput agak di luar jangkaan. Pada mulanya semua beranggapan paling ramai yang akan hadir hanyalah dalam lingkungan 5 hingga 10 orang. Anggapan awal saya dan beberapa rakan guru telah meleset. Mereka adalah sebahagian daripada calon-calon UPSR 2015. Mereka dipelawa untuk datang ke sekolah agar masa luang sewaktu Cuti Pertengahan Penggal 1 lebih bermakna dan produktif. Di sekolah mereka akan dibimbing untuk mengimbas semua apa yang telah dipelajari semasa berada di Tahun 4 dan Tahun 5.

Sesi menjawab soalan Bahasa Melayu Tahun 4 dan Tahun 5
Program yang bermula dari 17 Mac hingga 20 Mac 2015, akan dikendali oleh Guru Besar dan 'difasilitate' 5 orang bekas pelajar SK Abang Aing iaitu Wan Cairel, Syazwan Haqeemi, Wan Nurain, Nur Fazlina dan Aleematun Farhana. Terima kasih kepada semua. Sepanjang program dijalankan, iaitu dari 9.00 hingga 11.00 pagi, minuman rehat akan disediakan oleh pihak sekolah. 

Fasilitator program sedang meneliti kertas soalan Bahasa Melayu
Menikmati jamuan sewaktu rehat.
Hari pertama program, peserta diberi tumpuan kepada silibus Bahasa Melayu Tahun 4 dan Tahun 5 dengan memfokus kepada penggunaan perkataan yang sesuai dan kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan dalam membentuk ayat. Di samping diuji dalam latihan bertulis, murid-murid dibimbing oleh fasilitator secara bersemuka terutama memilih jawapan yang betul dalam soalan objektif.

Bimbingan secara bersemuka
Seorang fasilitator bagi 3 orang peserta
Walaupun program dijadualkan tamat pada pukul 11.00 pagi tetapi telah dilanjutkan sehingga 11.30 pagi untuk memberi peluang kepada semua peserta mengambil bahagian dalam perbincangan. Suasana perbincangan agak hangat dengan gelagat peserta mempertahankan jawapan yang mereka pilih sehingga fasilitator terpaksa memberi rasional mengapa jawapan yang betul itu dipilih.
Perbincangan antara fasilitator dengan peserta program.
Kesimpulannya, sesi pada hari pertama berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Murid-murid mengambil bahagian secara aktif dan berani mengeluarkan pendapat mereka. Siapa sangka Mohd Rizuan Othman dan rakan-rakan boleh mengeluarkan pendapat daripada hanya mengangkat kedua bahu menunjukkan mereka tidak tahu.
Setiap orang peserta melibat diri secara aktif dalam perbincangan.
Harapan semua, agar esok, lusa dan tulat kesemua yang hadir pada hari ini akan hadir semula. Semoga hati mereka digerakkan untuk datang semula ke sekolah agar sasaran menguasai minima 5C dalam UPSR 2015 menjadi kenyataan. Insha Allah.

No comments: