Sila Klik

Wednesday, 4 September 2013

MERDEKA RAYA, SK ABANG AING MERIAH!

Salam.
Sempena dengan majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan 2013, seluruh warga SK Abang Aing telah menyemarakkan majlis tersebut dengan sambutan Hari Kemerdekaan semasa Majlis Ramah-tamah Idul Fitri. Perhimpunan di Dataran Kemerdekaan diadakan seawal jam 7.30 pagi dengan nyanyian lagu-lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang. 

Kibaran Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu patriotik.

Majlis diteruskan dengan kupasan sejarah kemerdekaan negara yang disampaikan oleh Encik Kamsul Mohd Pon, Penolong Kanan Kokurikulum selaku Pengerusi Jawatankuasa Sambutan. Bertepatan dengan tema Hari Kemerdekaan Ke 56 pada tahun ini Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, beliau telah menyeru seluruh warga SK Abang Aing agar menjadikan 'kemerdekaan' yang disambut setiap tahun sebagai hadiah yang tidak ternilai daripada generasi terdahulu.

Model-model generasi Merdeka.

Aktiviti di Dataran Kemerdekaan diteruskan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang keunikan pakaian patriotik. Majlis disempurnakan oleh Guru Besar, Encik Wan Ismail bin Wan Chula. Sekali lagi, lagu patriotik berkumandang membakar semangat perhimpunan pada pagi tersebut.

Pemenang pertandingan Pakaian Patriotik.

Tepat jam 8.30, suasana sambutan bertukar dengan majlis menjamu selera juadah Idul Fitri. Murid-murid dari setiap buah kelas mengadakan 'Rumah Terbuka' untuk guru-guru. Sebagai tetamu, guru-guru dan kakitangan sekolah telah dijamu dengan pelbagai juadah.

Pegawai Daerah Sri Aman, antara tetamu yang hadir.
Selesai 'Rumah Terbuka' yang dianjurkan oleh murid-murid, aktiviti seterusnya beralih ke Dewan Sekolah. Guru dan kakitangan bersedia menrima kunjungan ibubapa dan tetamu jemputan. Antara yang hadir pada majlis tersebut termasuk Yang Dipertua PIBG, Pegawai Daerah Sri Aman, Pengurus Cawangan Bank Rakyat, Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Masyarakat dan ibubapa.
Tetamu jemputan menjamu selera.

Majlis bergambar beramai-ramai.
Majlis diakhiri dengan guru dan para jemputan bergambar beramai-ramai sebagai kenang-kenangan.

Tuesday, 3 September 2013

Prosedur Am Kemasukan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP)

Salam.
Seperti yang dijanjikan di dalam entri terdahulu  (klik di sini), dipaparkan Prosedur Am Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kawalan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Menerusi informasi terkini di laman portal Kementerian Pendidikan Malaysia, permohonan secara online (atas talian) untuk kemasukan murid ke tingkatan satu dan tingkatan empat di Sekolah Berasrama Penuh, KPM bagi Sesi 2014 telah dibuka pada 1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. Sila layari laman web KPM di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

Permohonan Online Ke Sekolah Berasrama Penuh Tingkatan 1 Dan Tingkatan 4 Sesi 2014

Cara Memohon SBP & Sekolah Kawalan
  • Pelajar Tahun 6 yang akan menduduki UPSR 2013 pada 10 hingga 12 September akan datang boleh memohon Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
  • Pelajar Tingkatan 3 yang akan menduduki PMR 2013 hanya boleh memohon Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sahaja.
  • Permohonan perlu dibuat secara online melalui Aplikasi Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan.
  • Pastikan maklumat yang dimasukkan adalah betul dan tepat kerana maklumat yang tidak tepat boleh menjejaskan peluang memasuki kedua-dua institusi tersebut.
  • Untuk mengakses dan membuat permohonan sila klik pautan di bawah:
  • Sebagai panduan untuk mengisi aplikasi tersebut, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyediakan manual dalam talian. Sila klik pautan di bawah: 

Tarikh Tutup
  • Permohonan ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Kawalan bagi sesi 2014 akan ditutup pada 15 Oktober 2013.
Maklumat
  • Sebarang pertanyaan boleh juga diajukan kepada :

  • Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Aras 3, Blok 2251, Jalan Usahawan 1, 63000 Cyberjaya, Selangor Darul Ehsan atau
    Telefon: 03 8321 7400 atau 

    Faks: 03 8321 7403/ 7402.

  • Pertanyaan boleh juga dibuat melalui Talian Khidmat Pelanggan KPM di 03 7723 7070 atau emelkpkpm@moe.gov.my.

Permohonan akan dibuka kepada guru kelas dan ibubapa/ penjaga murid Tahun 6 dan Tingkatan 3 dan akan menggunakan data Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) kementerian sepenuhnya di http://www.sekolahmalaysia.com ataupun di http://apps2.moe.gov.my/sekolahmalaysia

Monday, 2 September 2013

Ingin ke Sekolah Berasrama Penuh?

Salam.
Murid-murid Tahun Enam (6) dan pelajar-pelajar Tingkatan Tiga (3) pada tahun ini yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan (4), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) pada tahun hadapan perlu peka dengan 'Pemberitahuan' di bawah.



Permohonan secara online Kemasukan Murid ke Tingkatan Satu (1) dan Tingkatan Empat (4) di Sekolah Berasrama Penuh (SBP), KPM bagi tahun 2014 akan dibuka pada 1 September 2013 hingga 15 Oktober 2013. Sila layari laman web Kementerian Pendidikan Malaysia di http://www.moe.gov.my untuk sebarang keterangan lanjut.

- ikuti Prosedur Am Kemasukan Ke Sekolah Berasrama Penuh dalam entri yang akan datang.

Wednesday, 7 August 2013

Selamat Hari Raya




Salam.
SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN, terutama sekali kepada rakan-rakan dan pengunjung blog ini. Pada kesempatan yang tak ternilai ini, saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada pengunjung blog dan terima kasih juga kepada semua warga SK Abang Aing yang telah memberi sokongan yang tak berbelah bagi. 

Saya memohon jutaan maaf sekiranya sepanjang saya menyampaikan idea dan pandangan menerusi blog ini dan juga sepanjang menjalankan tugas terdapat tindakan dan bahasa yang mungkin menyinggung hati dan perasaan. Tidak terlintas untuk berbuat demiikian, sebaliknya saya hanya mahu menyampaikan pandangan dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan jujur dan berterus-terang atas niat dan tujuan yang satu: untuk kebaikan dan kelangsungan masa depan kita semua.

Selamat hari raya.


Tuesday, 23 July 2013

Cuti Raya 2013.

Salam.
Semua warga pendidik termasuk murid-murid dan ibubapa merasa lega apabila pihak Kementerian Pendidikan Malaysia mengeluarkan Surat Siaran (sila baca di sini) yang bertarikh 19 Julai 2013. Apa tidaknya, Hari Raya Aidil Fitri yang dijangka jatuh pada hari Khamis, 8 Ogos 2013 adalah sehari setelah Cuti Pertengahan Penggal 2 yang bermula pada 7 Ogos 2013 bagi negeri-negeri dalam Kumpulan B. Mudahlah bagi warga pendidik terutama guru-guru balik berhari raya di kampung halaman dan begitu juga dengan ibubapa yang merancang percutian mereka.

Menurut Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 16 Tahun 2013, sekolah boleh memohon 4 Ogos atau 5 Ogos sebagai Cuti Peristiwa dan 5 Ogos atau 6 Ogos sebagai Cuti Berganti. 24 Ogos ditetapkan sebagai tarikh ganti bagi Cuti Berganti. Sila rujuk jadual di bawah.





Thursday, 18 July 2013

Majlis Penyerahan Cek Geran Peruntukan Pembangunan

Salam.
Tanggal 18 Julai 2013 ketika umat Islam menjalani ibadah puasa untuk hari yang ke 9, warga SK Abang Aing telah dikunjungi oleh rombongan YB Hajjah Simoi binti Haji Peri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.23 Lingga. Kunjungi beliau ke sekolah kerana menetapi apa yang telah beliau janjikan pada 12 Oktober 2012 semasa merasmikan Majlis Penangguhan Sukan Tahun Sekolah 2012 - baca di sini

Ketibaan YB Hajjah Simoi disambut oleh EXCO Persatuan Ibubapa Guru.
Kunjungan YB Hajjah Simoi binti Haji Peri dan rombongan ke SK Abang Aing bertujuan untuk menyerahkan cek geran peruntukan pembangunan bernilai RM30,000 dan menyampaikan cenderamata berupa buah kurma kepada semua guru serta kakitangan sekolah, di samping mengeratkan lagi hubungan silatulrahim dengan pihak sekolah. Lebih-lebih lagi beliau merupakan bekas pelajar SK Abang Aing dan pernah berkhidmat sebagai guru sandaran di sekolah ini. 

YB menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada warga sekolah.
Dalam ucapan penghargaan dan terimakasih kepada guru dan kakitangan sekolah, beliau berharap komitmen dan kesungguhan  yang telah ditunjukkan dapat dikekalkan demi melahirkan modal insan untuk pembangunan negara. Beliau turut terharu dengan kejayaan yang telah dicapai oleh pihak sekolah samada dalam bidang akademik dan kokurikulum. YB Hajjah Simoi juga berjanji akan sentiasa membantu sekolah dan PIBG dalam menyemarakkan lagi dunia pendidikan dalam kawasan DUN yang beliau wakili.

Penyerahan cek bantuan geran yang bernilai RM30,000.00
Cek bantuan geran pembangunan yang bernilai RM30,000.00 telah disampaikan oleh beliau kepada Encik Zaidi bin Sharkawi, Yang Dipertua PIBG yang mewakili pihak sekolah dan PIBG. Sehubungan dengan itu, YB Hajjah Simoi berharap peruntukan tersebut digunakan secepat mungkin untuk pembinaan Lorong Pejalan Kaki Berbumbung demi kepentingan anak didik yang belajar di SK Abang Aing.

Penyerahan buah kurma secara simbolik kepada Guru Besar.
Sempena dengan lawatan beliau ke sekolah, YB Hajjah Simoi mengambil kesempatan menyampaikan sumbangan peribadi beliau berupa buah kurma kepada semua staf dan hadirin yang datang. Penyerahan telah dilakukan secara simbolik oleh beliau kepada Guru Besar. Lebih 100 paket buah kurma telah diserahkan oleh YB Hajjah Simoi yang seterusnya akan diagihkan oleh pihak sekolah.

Cenderamata dari pihak sekolah untuk tetamu kehormat.
Yang kurik itu kundi
Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi
Yang indah itu bahasa

Orang berbudi kita berbahasa
Orang memberi kita merasa

Begitulah budaya dan bahasa yang telah kita warisi sejak turun termurun dulu. Walau sepesat manapun kemajuan yang kita capai, warisan itu tetap kita pelihara dan kita jaga. Sebagai penghargaan dan ucapan terima kasih, Guru Besar mewakilkan seluruh warga SK Abang Aing menyampaikan cenderamata kepada YB Hajjah Simoi binti Haji Peri.

Terima kasih Yang Berhormat.
- semua gambar disumbangkan oleh saudara Abang Rosni

Tuesday, 9 July 2013

Program Kecemerlangan UPSR 2013

Salam.
Ekoran daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan sebelum ini untuk calon-calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 seperti Majlis Menandatangani Akujanji, Program Mentor-mentee, dan PERASA (Program Pembimbing Rakan Sebaya) sekadar menyebut beberapa aktiviti, Dewan Suarah Sri Aman sekali lagi menerima kedatangan 125 orang murid Tahun 6. Mereka berkampung selama dua hari untuk menjayakan Program Kecemerlangan  UPSR 2013. Program yang dijalankan pada 8 dan 9 Julai 2013, dianjurkan oleh Jawatankuasa Kecemerlangan Akademik dengan kerjasama Persatuan Ibubapa Guru (PIBG).

Khusyuk mendengar ceramah dari fasilitator.
Matlamat yang jangka dicapai melalui Program Kecemerlangan UPSR 2013, meningkatkan motivasi dalam diri calon-calon yang akan menghasilkan keputusan UPSR yang cemerlang. Antara objektif yang disasarkan kepada calon-calon UPSR 2013 adalah:
  1. Menyuntik motivasi dan dorongan untuk maju
  2. Meningkatkan kesedaran diri yang positif
  3. Melatih dan membimbing mereka menjawab soalan-soalan UPSR
  4. Memberi lebih keyakinan semasa menghadapi UPSR
  5. Meningkatkan tekad dan azam untuk mencapai kecemerlangan.


Seramai 4 orang guru yang terdiri Ketua Pemeriksa Kertas UPSR, Guru Cemerlang, Jurulatih Utama (JU) dari setiap mata pelajaran telah dijemput menjayakan program tersebut. Mereka didatangi dari sekolah di daerah Samarahan dan Sri Aman yang terdiri daripada:
  1. Encik Wellington Laichong Gaong
  2. Puan Dayang Aishah binti Abang Haji Mohd Amin
  3. Cik Normala binti Haji Udin
  4. Encik Patrick Hansam


Cik Normala, pemeriksa Kertas Bahasa Melayu
Puan Dayang Aishah, sifu Matematik
Encik Patrick Hansam yang 'handsome'.

Adalah diharapkan dengan bimbingan dan tunjuk ajar dari sifu-sifu yang diundang khas, calon-calon UPSR 2013 lebih berkeyakinan untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang. Sasaran pada tahun ini iaitu, 83.20% lulus keseluruhan, Gred Purata Sekolah (GPS) 1.93 dan Cemerlang 5A seramai 20 orang dapat dicapai. Insyallah.


Thursday, 20 June 2013

Pelajar dibenar bawa telefon bimbit ke sekolah? NO! NO! NO!


Salam.
Pelajar sekolah berkemungkinan dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013. Begitulah kenyataan yang telah dibuat oleh Datuk Dr. Wee Ka Siong, mantan Timbalan Menteri Pelajaran tidak lama dulu. Kecoh satu Malaysia tentang cadangan tersebut.  Berbagai reaksi dilontarkan terutama oleh guru dan Persatuan Ibubapa Guru (PIBG). Kebanyakkan mempersoalkan kewajaran cadangan tersebut. Setelah menerima pelbagai reaksi yang membantah, akhirnya pada 7 Ogos 2012 Datuk Dr. Wee Ka Siong memgeluarkan kenyataan bahawa cadangan tersebut masih dalam peringkat perbincangan.

Datuk Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran
Sekolah atau guru tidak melihat atas faktor keselamatan menjadi kewajaran pihak kementerian membenarkan telefon bimbit ke sekolah. Walaupun kewajarannya dengan alasan memudahkan pelajar menghubungi ibubapa di luar waktu persekolahan namun kesan sampingan yang cukup mengerunkan perlu diambil kira. Telefon bimbit atau telefon mudah alih sekarang tidak seperti telefon bimbit yang digunakan 10 tahun dahulu, yang hanya digunakan untuk berhubung melalui "voice call".















Lupakan saja tentang gajet ini yang menganggu waktu pengajaran dan pembelajaran kerana penggunaannya dihadkan di luar bilik waktu persekolahan. Kemudahan jalinan internet tanpa wayar yang ada di sekolah memboleh pelajar mengakses internet dan melayari facebook dan twitter. Ini belum lagi isu tentang video klip, porno dan sebagainya. Sedangkan pada waktu sekarang, telah ramai pelajar yang membawa telefon bimbit ke sekolah secara senyap-senyap dan merakamkan aktiviti yang tidak bermoral, apatah lagi apabila dibenarkan kelak.

Mohonlah ibubapa, guru-guru, Persatuan Ibubapa Guru dan masyarakat bersatu suara agar kebenaran membawa telefon bimbit ke sekolah tidak menjadi satu kenyataan. Lihatlah implikasi negatif yang akan berlaku sekiranya anak-anak kita diberi kebebasan menggunakan telefon bimbit ketika berada di sekolah waima di luar waktu persekolah.




Wednesday, 19 June 2013

Inilah Hasilnya

Salam.
Setelah  bertungkus-lumus menjayakan beberapa aktiviti akademik yang dirancang sejak Januari 2013, akhirnya seluruh warga SK Abang Aing terutamanya guru-guru dan murid-murid Tahun 6 menarik nafas lega. Apa tidaknya, keputusan Penilaian III yang diumumkan oleh Guru Besar menunjukkan terdapat peningkatan pencapaian dalam semua mata pelajaran. Peningkatan yang agak ketara adalah pada Bahasa Inggeris melonjak dari 76.91% kepada 87.20%, diiukuti oleh Matematik dari 78.23% kepada 82.40%. Secara keseluruhan peratus kelulusan (lulus semua mata pelajaran) meningkat sebanyak 11.52% iaitu dari 60.48% (Penilaian II) kepada 72.00% (Penilaian III).




Yang paling menggembirakan ialah, pencapaian bagi Bahasa Melayu Kefahaman telah mencapai sasaran UPSR 2013 iaitu 96.80%. Walau bagaimanapun usaha sekolah untuk mengecilkan angka GPS (Gred Purata Sekolah) di bawah mata 2.00 masih jauh dari jangkauan tapi ianya bukanlah sesuatu yang mustahil. Dengan bilangan murid yang mendapat gred D dan E semakin berkurangan untuk semua mata pelajaran, harapan masih ada. 


Program-program seperti Akujanji, Mentor-mentee dan PERASA (Progam Bimbingan Rakan Sebaya) yang masih rancak berjalan, banyak menyumbang ke arah peningkatan prestasi murid-murid Tahun 6. Bermula pada awal Julai nanti akan dilancarkan Gerak Gempur Kecemerlangan UPSR dan Program Motivasi akan diadakan pada 8 dan 9 Julai 2013. Dengan komitmen semua pihak termasuk PIBG (Persatuan Ibubapa Guru) dan komuniti setempat, in shaa Allah sasaran untuk mencapai kelulusan 80.20%, GPS 1.93 dan 20 orang lulus cemerlang 5A akan boleh tercapai.

Pelancaran Program Mentor-mentee

Penglibatan ibubapa semasa Program Akujanji.

Friday, 14 June 2013

Kejuaraan Milik Pendekar Kita

Salam.
Tahniah kepada pendekar-pendekar SK Abang Aing. Sekali lagi mereka melakar sejarah. Mereka telah merangkul juara dalam Pertandingan Paluan Kompang  dan Formasi, peringkat daerah Sri Aman.  Kejuaraan, yang sekaligus mengesahkan penyertaan mereka dalam Pertandingan Paluan Kompang dan Formasi, peringkat negeri Sarawak.

Lagak pendekar yang akan turun bertempur

Dengan bimbingan dan tunjuk-ajar daripada 4 orang guru: Encik Kamsul Mohd Pon, Puan Dayang Hamidah, Puan Fatimah Achau dan Ustazah Nurul Aini akhir 18 orang pendekar sekolah telah membuktikan mereka terbaik dalam daerah Sri Aman. Pergorbanan berlatih sewaktu orang lain seronok bercuti telah membuahkan kejayaan. Mereka adalah wira-wira yang telah mengharum dan mengukir nama sekolah di persada Sri Aman dan seterusnya ke peringkat yang lebih tinggi. Insyallah.

Kumpulan Paluan Kompang Dan Formasi 
Perjuangan seterusnya adalah, pada 1 Julai 2013. 18 orang pendekar ini akan mempersembahan paluan dan langkah-langkah kreatif semasa Pertandingan Paluan Kompang dan Formasi peringkat negeri Sarawak. Mereka akan berentap dengan lebih 10 kumpulan dari seluruh negeri Sarawak. Semoga mereka akan terus melakar sejarah kejuaraan bagi SK Abang Aing. Harapan kita agar mereka dapat mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan, mengiringi kejayaan Kumpulan Action Song.

Semangat yang berkobar-kobar, sebelum berjuang.